BNM halang 1MDB tambah hutang -Zeti

BNM halang 1MDB tambah hutang -Zeti

ZETI Akhtar Aziz ketika hadir di Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN.M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) ‘menggagalkan skim mega’ 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) untuk menambah hutang luar negara sebanyak RM4.9 bilion.

Permohonan untuk `tambah hutang’ itu dibuat kira-kira setahun sebelum unit risikan kewangan luar negara memaklumkan bank pusat itu mengenai kemungkinan berlakunya penyelewengan dana syarikat terbabit.

Menurut bekas Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, rayuan oleh syarikat pelaburan strategik negara berhubung perkara sama juga ditolak.

Ujar Zeti, BNM boleh memberikan pertimbangan sewajarnya sekiranya 1MDB menyimpan wangnya di luar negara untuk membayar hutang luarnya.

Bagaimanapun, wanita itu memberitahu, 1MDB gagal memberikan sebarang maklumat mengenai dana yang disimpan di luar negara kerana `ia sememangnya tiada’.

“Mereka (1MDB) cuba untuk mengambil pinjaman luar negara dan mengemukakan permohonan pada 3 Jun 2014. Ini berlaku sebelum maklumat (mengenai penyelewengan) diterima oleh pihak berkuasa luar negara (sekitar 2015).

“BNM menolak permohonan ini sekali gus menghentikan ‘rancangan mega’ yang mereka buat. Rayuan mengenainya ditolak,” kata Zeti.

Zeti bagaimanapun tidak pasti sama ada 1MDB ada mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kewangan yang dipegang Najib ketika itu.

Beliau juga memaklumkan bahawa BNM tidak pernah menerima sebarang arahan atau dihubungi Najib berhubung isu pinjaman tersebut.

Selain itu, Zeti memberitahu, 1MDB didenda sebanyak RM15 juta selepas gagal untuk mendapatkan kembali semua dana syarikat itu yang dikatakan disimpan di luar negara.

Denda tersebut dijelaskan secara penuh pada 25 Mei 2016.

Tambahnya, dengan membayar denda tersebut, 1MDB secara tidak langsung `mengakui’ bahawa mereka tidak mempunyai sebarang pelaburan atau simpanan di luar negara.

Esok, mahkamah akan bermula dengan pendengaran permohonan Najib agar Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes itu.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya