BN sedang hadapi penolakan besar rakyat - Ahmad Zahid 

BN sedang hadapi penolakan besar rakyat – Ahmad Zahid 

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengakui gabungan itu sedang menghadapi penolakan besar rakyat khususnya golongan Melayu. 

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, penolakan oleh rakyat itu memberi gambaran tidak sihat dan keadaan tersebut menuntut BN supaya bergerak lebih agresif dan membina semula keyakinan mereka. 

Bagaimanapun, beliau percaya, sokongan rakyat kepada BN yang telah merudum dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan pilihan raya negeri (PRN) boleh dibina semula selain menyifatkan situasi sebegitu lumrah biasa dalam politik.

“Dalam cabaran yang kita hadapi sekarang, ketika UMNO dilanda penolakan orang Melayu. Parti komponen BN iaitu UMNO, MIC, MCA dan PBRS harus bangun semula dapatkan dukungan rakyat.

“Penolakan ini memberi landskap yang tidak sihat kepada negara. Sokongan kepada BN yang merudum pada PRU15 dan PRN boleh dibina semula,” katanya berucap melancarkan pembinaan bangunan baru MIC di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan timbalannya, Datuk Seri M. Saravanan.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, BN tidak boleh mempunyai agenda untuk meminggirkan di antara satu sama lain dalam usaha membina semula sokongan rakyat kepada gabungan itu.

“Kita kena sokong antara UMNO, MIC, MCA serta PBRS dan juga rakan-rakan dalam rakan kepada BN.

“Sejarah sering ada putarannya. Kita sedang hadapi penolakan ini, yang agak ke bawah kedudukan BN. Tapi tidak selalunya yang di bawah ini akan terus di bawah kalau kita ada usaha untuk naikkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) adalah jalan terbaik bagi memulihkan semula imej gabungan itu selain memerlukan komitmen tinggi parti komponen di semua peringkat.

“Apa yang terbaik adalah rangkaian kerjasama kita dalam PH. Kombinasi kita dengan PH walaupun belum menampakkan keyakinan yang baik, namun tempoh ini baru sembilan bulan bagi BN dan rakan-rakan dalam PH untuk bina semula sokongan.

“Komitmen bukan hanya diperlukan dari kepemimpinan atasan, tapi di semua peringkat tidak kira nasional, negeri, Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) wajib kita susun semula dan kembalikan keyakinan ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya