BN Kedah akur kekalahan di kesemua 15 kerusi ditandingi

BN Kedah akur kekalahan di kesemua 15 kerusi ditandingi

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah akur dengan kekalahan gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) dan menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat di kesemua 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi mereka.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, BN tetap berterima kasih kepada seluruh rakyat Kedah dan pada masa sama menzahirkan ucapan tahniah kepada Perikatan Nasional (PN) yang berjaya membentuk kerajaan negeri.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera BN yang telah bertungkus-lumus dan bekerja keras sepanjang kempen PRN kali ini.

“Kita akur dan menerima kekalahan ini kerana inilah adat pertandingan. Akan ada pihak yang kalah dan ada yang menang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

Jelas beliau, BN tetap berlapang dada dan menghormati keputusan rakyat Kedah yang menolak untuk meletakkan kepercayaan di tangan kerajaan Perpaduan bagi mentadbir negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah turut menasihatkan semua ahli UMNO dan BN Kedah untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kekalahan pada PRN kali ini.

“Saya nak berpesan kepada semua ahli-ahli UMNO dan BN untuk bertenang dan tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Kita telah berusaha menawan hati pengundi bukan hanya semasa kempen PRN sahaja, malah dari dulu lagi kita sentiasa berkhidmat kepada rakyat. Tapi apabila rakyat mengambil keputusan tidak memilih BN, kita redalah dengan ketentuan Allah,” katanya.

Mahdzir yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu tewas kepada calon PN yang juga penyandang kerusi, Mohd. Radzi Md. Amin dengan majoriti 6,373 undi apabila sekadar memperoleh 8,024 undi, ketinggalan jauh dengan Mohd. Radzi yang meraih 14,397 undi.

“Saya menerima kekalahan saya di DUN Pedu dengan hati terbuka dan mendoakan semoga pengundi di Pedu akan mendapat segala kebaikan selepas membuat pilihan menolak saya dan mengekalkan wakil rakyat berkenaan,” katanya.

Mahdzir pernah bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu selama dua penggal pada 2004 hingga 2013.

Selain Mahdzir, dua nama besar Pakatan Harapan (PH) yang turut tewas ialah Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi DAP negeri, Tan Kok Yew. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya