Bicara kes 1MDB Najib kekal di hadapan Hakim Collin, permohonan gugur beliau ditolak - Utusan Malaysia

Bicara kes 1MDB Najib kekal di hadapan Hakim Collin, permohonan gugur beliau ditolak

Najib Razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini, kekal dibicarakan di hadapan Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas hakim berkenaan sebentar tadi menolak permohonan bekas Perdana Menteri agar beliau menarik diri daripada mendengar kes itu.

Hakim Mahkamah Rayuan itu berpuas hati, penglibatan beliau selaku hakim bicara dalam kes tersebut tidak akan menimbulkan konflik kepentingan mahupun mewujudkan situasi bahawa beliau tidak akan berlaku adil atau berat sebelah terhadap tertuduh.

Hakim Collin menjelaskan, beliau tidak lagi berkomunikasi dengan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan sejak 15 tahun lalu selepas wanita itu meninggalkan firma guaman Tetuan Zain & Co. pada 31 Disember 2008.

Menurut beliau, jika Jasmine dipanggil sebagai saksi dalam kes itu sekalipun, tiada bukti menunjukkan beliau tidak mampu untuk menilai keterangan bekas rakan kongsinya itu dan kredibilitinya secara sedar atau sebaliknya.

Ujarnya, perlu wujud kaitan di antara hakim dan situasi persekitaran sebelum beliau membuat keputusan menarik diri daripada mendengar sesuatu kes.

Sehubungan itu, Hakim Collin berpuas hati bahawa bekas Perdana Menteri gagal membuktikan wujud hubung kait di antara beliau dan Jasmine dalam bentuk komunikasi secara peribadi atau pertemuan dengannya.

Pada prosiding itu, mahkamah tolak menolak permohonan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah agar perbicaraan hari ini digantung sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Prosiding kemudian diteruskan dengan mendengar keterangan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada sesi pemeriksaan balas.

Semalam Hakim Collin mendengar penghujahan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar dan Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dalam permohonan itu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu mengemukakan permohonan tersebut selepas Hakim Collin pada 26 Julai lalu mendedahkan bahawa beliau pernah berkhidmat dengan Jasmine (kini dalam tahanan polis).

Hakim Collin berkata, sepanjang tempoh berkhidmat dengan Tetuan Zain & Co bersama Jasmine, beliau tidak pernah menangani isu 1MDB, begitu juga dengan firma guaman itu pada masa yang berkenaan.

Jasmine dikatakan salah seorang sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.

Sementara itu, Muhammad Shafee berhujah bahawa memandangkan Hakim Collin pernah bertugas bersama Jasmine, perkara itu boleh menghalang hakim tersebut daripada bertindak secara adil dan berfikiran bebas ketika mendengar keterangan wanita itu jika beliau dipanggil menjadi saksi.

Muhammad Shafee juga berkata, Hakim Collin perlu memutuskan isu kebolehpercayaan Jasmine kerana beliau memainkan peranan yang penting (dalam 1MDB) dengan mengikut arahan Jho Low, iaitu `untuk menghalalkan perkara yang haram.’

“Keputusan itu akan menimbulkan konflik dan memalukan Yang Amat Arif kerana hubungan Yang Amat Arif dengannya sebagai bekas rakan kongsi (di firma guaman itu),” katanya.

Sementara itu, ketika membantah permohonan Najib, Kamal Baharin berhujah adalah jelas bahawa Jasmine telah meninggalkan firma guaman terbabit pada 31 Disember 2008 manakala Hakim Collin terus berkhidmat di situ sehingga beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 20 Jun 2014.

“Adalah jelas bahawa mereka bukan lagi rakan setugas selama kira-kira enam tahun sebelum Yang Amat Arif dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman. Peranan yang dimainkan oleh Jasmine dalam 1MDB bermula pada tahun 2011 manakala tempoh perkhidmatannya dengan Tetuan Zain & Co adalah antara 1998 dan 2008.

“Tiada perkaitan antara isu dalam perbicaraan ini dengan hubungan masa lalu Yang Amat Arif dan bekas rakan kongsinya di firma guaman dan kami berhujah Yang Amat Arif sebenarnya tidak perlu mendedahkan hubungan ini kerana ia boleh didapati daripada rekod awam,” katanya.

Pada 12 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa Jasmine telah ditahan polis pada 7 Julai bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana 1MDB.

Najib, 70, yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya