Bicara ditangguh, Ahmad Zahid hadir mesyuarat Kabinet

Bicara ditangguh, Ahmad Zahid hadir mesyuarat Kabinet

HISYAM Teh Poh Teik (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mewakili Ahmad Zahid Hamidi pada perbicaraan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan hingga esok perbicaraan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan penangguhan selepas peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan Timbalan Perdana Menteri perlu menghadiri mesyuarat Kabinet pagi ini.

“Pasukan pembelaan memohon penangguhan kerana Datuk Ahmad Zahid menghadiri mesyuarat Kabinet pagi ini, bicara didengar esok,” ujar beliau ketika memaklumkan perkembangan kes kepada wakil media di pekarangan mahkamah.

Hari ini, mahkamah sepatutnya menyambung keterangan saksi pembelaan ketujuh, Datuk Rosiah Osman, 71, yang juga bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid pada sesi pemeriksaan utama.

Semalam, saksi berkenaan antara lain menyatakan, kad kredit peribadi Ahmad Zahid digunakan bagi mendahulukan pembelian peralatan termasuk kipas, pendingin hawa dan permaidani untuk sumbangan majid yang merupakan sebahagian daripada aktiviti kebajikan Yayasan Akalbudi.

Ujar Rosiah, wang Yayasan Akalbudi kemudian dikeluarkan bagi membayar balik pembelian yang menggunakan kad kredit Presiden UMNO tersebut.

Ahmad Zahid, 70, sedang dibicarakan atas 47 pertuduhan rasuah , pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd..

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya