KUALA SELANGOR: Kerajaan melaksanakan Program ‘Beyond Benih’ sebagai usaha untuk memastikan keterjaminan makanan serta saradiri yang mampan melalui kebun-kebun komuniti di seluruh negara.
Program tersebut yang dilaksanakan dengan usaha sama British American Tabacco Malaysia Berhad (BAT Malaysia) itu sudah pun membuka dua kebun komuniti di negeri ini iaitu Shah Alam dan Tanjong Karang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, insiatif tersebut mampu mengurangkan kebergantungan bekalan makanan daripada sumber luar yang dalam masa sama menggalakkan penghasilan produk tempatan.
Menurutnya, selain pelaksanaan melalui kebun komuniti, program berkenaan boleh dijalankan dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi seperti Felcra dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
“Kita mengimport bahan makanan melebihi RM60 bilion setahun, ia jumlah yang besar. Sebab itu, Jabatan Veterinar umpanya dan kerjasama pelbagai agensi termasuk Felcra dan Risda seperti memelihara lembu, kambing dan ayam untuk dipasarkan.
“Itu dapat membantu peneroka, pekebun kecil dan peserta Felcra serta orang kampung juga turut dilibatkan, soalnya kita (sekarang) lakukan dalam skala yang kecil. Kita mesti lakukan dalam skala yang besar supaya ketergantungan kita kepada import dpt dikurangkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, beliau meninjau kebun komuniti di Kampung Sungai Gulang-Gulang di sini sebelum melancarkan Program ‘Beyond Benih’ Peringkat Nasional BAT Malaysia yang turut dihadiri Pengerusi BAT Malaysia, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat.
Dalam pada itu, Aseh memaklumkan BAT Malaysia memainkan peranan dalam mewujdkan komuniti yang berdikari, makmur dan mesra alam yang boleh meningkatkan kemampuan kadar sara diri dalam pemakanan.
“Melalui program ini, BAT Malaysia bertanggungjawab menyediakan sumber pembiayaan, Jabatan Pertanian memberi sokongan teknikal sementara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membantu pemasarannya.
“Hasil tanaman dari kebun Beyond Benih itu dijual semula kepada ahli komuniti di bawah harga pasaran. Keuntungan jualan dilaburkan semula ke dalam projek kebun, termasuk sebagai sumber pendapatan kepada pekerja terlibat,” ujarnya. – UTUSAN