Berjalan di lembah kerikil - Utusan Malaysia

Berjalan di lembah kerikil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU dua puluh dini hari. Jalan Tuk Lam hampir lengang. Langit terang benderang di atas kuburan lama Kampung Patani oleh sinaran bulan-12 Zulkaedah. Angin masih bertiup perlahan sekadar cukup menggerakkan bendera Perahu dan Serindid yang terpacak pada kiri kanan.
Rizal masih di dalam kereta yang berhenti tidak jauh dari sebuah restoran yang baru sahaja ditutup. Iqbal, pemandu dan pengawal peribadi sudah berdiri di luar dengan mulutnya tergantung sebatang rokok. Rizal sudah mengagak, Syed Rasul, Khalid dan Usman mencari denai geraknya selepas berucap di markas Kampung Keladi. Dia sengaja meminta Iqbal ke Jalan Tuk Lam. Sengaja mahu berehat di bawah titisan embun pagi.
Tadi, dia terlalu seronok memberikan pandangan hal-hal isu semasa di depan ratusan penyokongnya di desa tua itu. Sekali dua ucapannya itu disambut laungan ‘Hidup Encik Rizal, hidup Encik Rizal’. Dan sebelum meninggalkan majlis beberapa orang memintasnya untuk berfoto termasuk kumpulan wanita.
“Malam ini saya begitu teruja, “ Rizal memberikan reaksi. Kerana keturajaan itulah dan meminta Iqbal membawanya ke Jalan Tuk Lam dengan harapan Restoran X masih menerima tetamu.
“Dah tutup Encik Rizal,” kata Iqbal. Rizal terpinga-pinga. Dia terlelap. Terasa penatnya mencengkam. Kepenatan itu dibaluti beban fikir yang belum terurai.
Paling tertekan kerana hatinya masih belum dapat memadamkan lukanya terhadap perlakuan dan bantahan isterinya dan anak sulungnya Irwan yang bertali arus menentang terhadap keputusannya menerima cadangan Dato’ Munir supaya Rizal dijadikan korban politik dan sekaligus statusnya sebagai Pegawai Tinggi Kementerian akan tergolek.
“Datuk Paduka sangat bersetuju memilih kamu, Rizal. Setelah meneliti beberapa senarai, kami merasakan kamu paling layak.” Kata Dato’ Munir dalam mesejnya ketika dia masih di Pulau Senandung, mengendalikan bengkel peringkat tinggi kepada staf kanan jabatannya.
“Kamulah yang mampu memalingkan pemilih yang telah memberikan kepercayaan kepada Baharom dari parti Serindid sehingga Dato’ Nordin, tokoh sukan tempatan yang disanjung ramai itu tersungkur.”
Dari mana Dato’ Munir peroleh gambaran sedemikian dan mempertaruhkan dirinya untuk merampas kerusi musuh sehingga meyakinkan Datuk Paduka memberikan persetujuan memilihnya? Mengapa tidak memilih Datuk Jalil, pemimpin Perahu itu?
“Abah salah memilih petak hidup. Abah memilih tanah berlumpur untuk membina rumah baru. Ayah akan kecundang.” Bantah anaknya Irwan sambil menayangkan akhbar ‘Malai’ yang mendapatkan sumber orang dalam Perahu bahawa nama ayahnya disebu pilihan bertanding di kerusi X15.
“Su menentang. Su tidak akan memberi sokongan jika abang terus dengan hasrat pimpinan Perahu. Su tidak akan balik berkempen.”
Rizal mendongak, melihat wajah isterinya yang mencuka. Apa yang diramalkan selama ini didengarnya sendiri. Sebulan lalu, anak keduanya Budiman ada menyebut perkara itu. Kata Budiman, abangnya mempengaruhi emaknya. Rizal tidak menunjukkan reaksi. Dia diam mendengar berita itu seperti dia juga diam apabila Dato’ Munir berkata sesuatu ketika mereka bertemu di restoran eksklusif di puncak sebuah bukit di pinggir kota.
“Rakyat sudah memperlihatkan gelombang kebencian terhadap Serindid. Bukan mustahil Perahu dapat merampasnya. Kawasan X15 yang dianggap pemerhati politik sukar diambil balik, barangkaliRizal mampu melakukan.”
“Kita memerlukan seorang tokoh dikenali ramai, tokoh yang bersih dan intelektual untuk menyakinkan rakyat. Setakat ini tiada calon terbaik selain kamu, Rizal.”
“Saya tidak patut mendengarnya.” Tiba-tiba ungkapan itu terlucut dari mulutnya. Rizal cuba melihat reaksi positif dari sahabat tuanya. Dato’ Munir tersenyum.
“Rizal akan bersara dua tahun lagi. Pilihan bersara awal boleh kita usahakan. Katakan Rizal akan meneruskan kerjaya sekarang dan dua tahun lagi akan menjadi penunggu rumah, sedangkan tenaga intelektual kita masih diperlukan masyarakat. Percayalah kehidupan tidak akan lengkap jika tenaga, daya fikir kita tidak dipergunakan untuk bangsa dan negara.”
“Sahih Abah mengikut telunjuk Dato’ Munir,” kata Irwan dengan suara meninggi.
“ Sejak remaja abah dididik guru supaya berdiri atas keyakinan sendiri. Abah akui pernah disyarah Dato’ Munir tentang situasi negara, kehendak masyarakat. Dia tidak memaksa abah. Abah ada prinsip sendiri.”
“ Degil betul abah kamu ini,” Salmah menghempas sebiji bantal kecil ke lantai.
“ Memang saya degil. Dari dulu saya didegilkan oleh keadaan. Untuk pengetahuan kamu berdua, saya sudah membuat permohonan pencen awal. Ini ubat kedegilan saya.”
Rizal terus meninggalkan mereka berdua, menuju kereta. Dia memilih memandu sendiri hari itu walaupun masih berhak menggunakan khidmat Sanusi yang diamanahkan kementeriannya membawa pegawai kanan keguruan itu.
Rizal membuka pintu kereta dan memanggil Iqbal yang duduk di bawah bucu kaki lima kedai perabot.
“ Syed Rasul sudah menemui restoran yang masih dibuka, “ ujar Rizal.
“ Katanya, Haji Bidin dan beberapa sahabatnya nak jumpa saya.” Iqbal berpaling kepada Rizal. “ Setahu saya, Haji Bidin orang kuat Serindid Encik Rizal. Saya pernah dengar namanya, tetapi belum kenal secara fizikal.”
“Bagus sangat kalau dia masuk sebelah kita,” sambung Iqbal, meluncurkan kereta menuju restoran yang dipetakan Syed Rasul.
“ Berita baik ni Encik Rizal.”
Syed Rasul sudah merapatkan meja makan daripada dua kepada satu. Nasi lemak berbungkus di dalam talam kecil diletakkan di tengah-tengah meja. Semangkuk telur masak dan separuh masak juga diletakkan di sebelah. Haji Bidin dengan tiga pengikutnya bersalam dengan Rizal.
“ Ada Haji nak cakap sesuatu kepada Encik Rizal?” Tanya Syed Rasul selepas selesai menikmati nasi lemak.
“ Saya bersedia mendengarnya,“ kata Rizal. Ada debaran di dadanya.
“ Encik Rizal, kami orang Serindid bukan memilih secara buta tuli seperti tanggapan ramai orang. Kata mereka, kalau batang buruk pun jadi pertaruhan, kami pilih sahaja. Kami ada prinsip, akan memilih intan daripada kaca. Bagi saya dan ramai lagi rakan merasakan Encik Rizal adalah intan. Pilihan tepat sebagai wakil kami ke Dewan Tertinggi. Malam ini saya hendak berikrar…” Haji Bidin mematikan kata.
“Akan membantu Encik Rizal?” Syed Rasul menyampuk, merasakan tujuan sebenar yang hendak dituturkan Haji Bidin.
“ Ya, saya akan berkempen secara rahsia menyokong Encik Rizal. Itu saja tujuan saya ke mari. Kami mahu Encik Rizal menang!.”
Encik Rizal kelu, Dia menyapu matanya. Dadanya sebak mendengar berita yang dituturkan di depan dirinya. Lantas ingatannya kepada isteri dan anak sulungnya yang enggan membantunya.
“ Insya-Allah. Malam ini saya mula terasa berpijak di bumi,” balas Rizal. Dia menarik nafas panjang. Jam tiga pagi, mereka berpisah.
“Anak kedua saya, Budiman sampai hari ini, “ kata Rizal kepada Syed Rasul.
“ Dua pegawai pejabat saya ikut sama membantu kita. Seorang dara, seorang janda beranak satu.” Khalid menoleh Usman. Lelaki berambut kerinting itu sudah berusia 30-an dan solo.
“ Kenapa menoleh dia,” usik Syed Rasul. “ Ini masa kritikal, bukan untuk berlawak yang bukan-bukan, “ tingkah Usman.
“ Mana tahu di tanah X15, jodohnya di situ.” Usik Khalid, tertawa. Usman tunduk. Tersipu-sipu. Sindiran itu terpantul kepada dirinya.
Syed Rasul mengambil fail dari laci, berisi senarai nama dan borang kebenaran berkempen. Meletakkan di hadapan Usman. “ Ini tugas kamu. Berkahwin dengan borang ini dahulu. Taip nama dalam senarai itu di dalam borang kuning ini untuk ditandatangan, wakil calon.”
Rizal ternampak-nampak anak lelaki keduanya, seorang jurutera dan bekerja di sebuah syarikat swasta, bekas pelajar asrama MRSM, pintar berpidato sehingga terpilih sebagai pemidato terbaik dalam pertandingan bahas peringkat daerah, benar-benar berwatak papanya.
Sudah dua kali dia berbual tentang bakal jodohnya. Sangat pemalu menyantuni perempuan. Tetapi kali ini, demi membantu papanya, dia sanggup membawa seorang gadis dan seorang janda di dalam keretanya di suatu perjalanan yang jauh. Suatu paradigma baru.
“Budiman tidak akan membiarkan Papa keseorangan. Mama dan abang Irwan silap membaca watak papa, hasrat dan cita-cita papa. Budiman juga tahu mengapa mereka beria-ia memarahi papa.”
Itulah kata-kata Budiman ketika dia muncul di pejabatnya. Pada hari yang sama, Budiman terserempak gadis bernama Aina yang bertugas sebagai pembantu khas papanya.
“Siapa tu papa?”
“Budiman berkenan? Dia pembantu khas papa, berkelulusan diploma pentadbiran dan komunikasi, anak kakitangan rendah Pejabat Pos. Papa sudah ke rumahnya. Emaknya sakit.”
“Sopan orangnya, papa.”
“Papa gembira mendengar komen Budiman terhadapnya. Bermakna Budiman sudah mampu menilai seseorang. Papa sebenarnya sudah lama berkenan. Dan Papa merasakan akan beroleh menantu cantik dan baik budi pekertinya tidak lama lagi.”
Rizal masih ingat, selepas selesai dia menyampaikan amanat terakhir kepada stafnya, Aina dan Baizura masuk ke biliknya. Keduanya menangis tersedu-sedu.
“Kami sedih atas kehilangan Encik Rizal. Kami tak pernah jumpa ketua sebaik encik. Kami kehilangan orang yang banyak memberi semangat bekerja pada setiap bulan.” Luah Baizura sambil mengesatkan matanya.
“Untuk membalas jasa baik Encik Rizal, kami sudah berpakat untuk turun ke kawasan Encik Rizal bertanding, sama-sama membantu seupaya kami. Semoga Encik Rizal tidak menolak pertolongan kami.”
“Anak lelaki saya yang akan ikut sama. Dia akan bawa kamu berdua ke sana. Budiman akan uruskan tempat tinggal.” Beberapa minit kemudian, Rizal memanggil semula Aina.
“Saya pernah bercerita tentang Aina dan keluarga kepada Budiman. Dia mahu mengenali Aina dari dekat. “
Aina tersipu-sipu. Meletakkan telapak tangan kanannya ke mulut dan cepat-cepat melangkah keluar. Dia terasa diikat Encik Rizal dengan sesuatu di luar fikirnya. Tiba-tiba rasa segan melanda dirinya menemui Budiman yang disebut Encik Rizal itu. Mengapa Budiman diberitahu hal diri dan keluarganya begitu sekali. Sukar digambarkan bagaimana dia hendak melayan kehadiran Budiman nanti. Mujurlah Budiman tidak datang. Anak lelaki Encik Rizal itu sekadar menelefon dia dan Baizura dua hari kemudian. Memberitahu akan datang ke pondok pengawal untuk mengambil mereka.
Bagai mengetahui kehendak Budiman, Baizura enggan duduk di hadapan.
“Orang muda biarlah dengan orang muda, “ kata Baizura.
“Aina, jangan tidur pula. Encik Budiman perlukan pembantu yang tidak melalaikan pemanduannya.”
Budiman membetulkan duduk. “ Terima kasih atas kesudian Aina dan Baizura membantu papa saya. X 15 adalah tanah tidak rata, Aina.”
“Puan dah ada sanakah?” celah Baizura. Ada sintakan di dada Budiman, bagaimana staf papanya tahu pergolakan kehidupan Papa dan Mama?
“Mama saya uzur. Tak dapat bersama Papa. Sebab itu, Papa memerlukan kita bantu dia,” Budiman meredakan dirinya.
“Kak Zura, Aina tak akan tidur. Encik Budiman jangan risau. Doakan Aina menjadi pembantu pemandu terbaik. Buat selama-lamanya,” usik Baizura bersambung tertawa.
“ Semoga doa Puan menjadi,” tingkah Budiman.
“ Apa ini kak? Ke selekoh mana tutur tu?” Bantah Aina, berpaling kepada Baizura dengan wajah masam.
“ Saya suka dengan gurauan itu,” celah Budiman.
Aina dan Baizura ditemukan dengan Puan Sarimah di markas Perahu.
“Berikan apa-apa tugasan. Mereka orang kuat NGO di kawasan perumahan. Bagi mereka peluang berceramah di kelompok kecil,” kata Rizal.
“Yang kecil molek tu siapa Encik Rizal?” Puan Sarimah mengusik, mengecilkan mata kepada temannya Puan Zakiah dari ranting Parit Pisang.
“Kawan anak saya, Budiman. “Dia beria-ia nak tolong saya.”
Ada ketukan di luar bilik gerakan. Syed Rasul dan Khalid tergesa-gesa masuk.
“Kita ada masalah,” Cetus Khalid.
“ Orang Datuk Jalil?” Soal Puan Sarimah.
“ Tiga ranting tidak mahu membuka markas sekiranya tidak diberikan jumlah wang tertentu,” cerita Khalid. Rizal menepuk dahi.
“Kenal pasti siapa di belakang ugutan itu. Cantas biar putus-getas,” Puan Sarimah berdiri sambil bercekak pinggang.
“Ambil tindakan secara berhemah. Saya cadangkan Puan Sarimah jumpa Ketua wanita, puteri dan pemuda tiga ranting tersebut. Biar mereka datang jumpa saya petang ini.”
“Pendekatan terbaik, “ kata Syed Rasul.
“Jenis beruk nak makan tuan.” Rungut Khalid, meredakan kemarahannya itu dengan menarik sebatang rokok cop mancis ke mulutnya.
“Syed, aturkan program anak saya Budiman ke ceramah ke rumah-rumah. Dia sudah sampai bersama Aina dan Baizura, staf saya. Mereka cuti seminggu membantu saya.”
Usman masuk, membawa beberapa helai kertas.
“Ini program ceramah kita sepanjang dua minggu ini. Encik Rizal kena hadir di semua ceramah untuk perkenalkan diri,” katanya.
“Setakat ini sambutan ceramah kita sangat memberangsangkan, Sebahagian besar penyokong Dato Jalil mula kembali ke markas kita,” kata Usman lagi.
“Malam ini kita bawa anak dara dari ibu kota berceramah di rumah Datin Sakinah.
“Encik Rizal yang mahukan anak dara comel itu ke sana,” Puan Sarimah, menjeling tajam kepada Syed Rasul.
“Kalau perlu kita ajak anak Encik Rizal, Budiman sekali.”
Rizal tersenyum dengan hiburan sahabat-sahabatnya. Tetapi, di kepalanya terbeban pengharapan orang. Dicatatnya segala rungutan mereka.
Sesungguhnya dirasakan perjalanan kali ini benar-benar di atas aspal yang dipenuhi batu-batu bukit yang belum dilumatkan dan suatu senja yang akan membilangkan nasibnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya