Beri tumpuan penyediaan rumah mampu milik, peluang pekerjaan - Utusan Malaysia

Beri tumpuan penyediaan rumah mampu milik, peluang pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Isu penyediaan perumahan mampu milik dan peluang pekerjaan merupakan antara perkara yang pengundi-pengundi di Negeri Sembilan mahukan untuk diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.

Menurut seorang penjawat awam, Nor Marlina Najib, 42, berkata, harga rumah yang kebanyakan telah dibina dilihat mahal sehinggakan masih ramai tidak mempunyai rumah mereka sendiri.

“Saya harapkan kerajaan negeri yang dibentuk nanti dapat memastikan kawasan perumahan dan kediaman yang dibina lebih banyak menyedia dan menawarkan rumah dengan harga mampu milik dan bukannya yang terlalu mahal sehingga menyebabkan kami tidak dapat membeli rumah sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

NOR MARLINA NAJIB

Seorang pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai, Suhaida Latif, 50, memberitahu, kawasan tersebut sudah banyak membangun dengan sektor perindustrian namun peluang pekerjaan masih kurang buat masyarakat tempatan.

“Saya harap ada dasar yang dapat dilaksanakan bagi memastikan pihak industri lebih mengutamakan pekerja tempatan berbanding pekerja asing yang semakin ramai di sini.

SUHAIDA LATIF

“Lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat khususnya golongan belia menyebabkan mereka tidak perlu berhijrah ke luar untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengundi muda dari Port Dickson, Ammar Aiman Osmera, 21, meminta mana-mana parti yang diberikan amanah supaya menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.

“Mana-mana parti yang menang pun saya minta mereka jalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakyat, tidak semata-mata mahu dapatkan kuasa dan menjatuhkan siapa-siapa tetapi berkhidmat kepada rakyat dan menjalankan amanah dengan ikhlas.

AMMAR AIMAN OSMERA

“Saya juga harap difikirkan kaedah dan inisiatif supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan dengan bayaran gaji setimpal terutama kepada graduan,” katanya.

Seorang peniaga kedai runcit, Rozy Nordin, 39, pula berharap agar kerajaan yang dipilih nanti supaya mengutamakan isu pembangunan negeri dan memangkin dan merancakkan ekonomi.

ROZY NORDIN

“Apabila ekonomi rancak, peluang pekerjaan bertambah, penduduk mampu berbelanja sekali gus merangsang banyak sektor lain termasuk kepada peniaga-peniaga kecil yang lain,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya