MARANG: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa pertukaran jawatan Menteri Besar Kelantan dan timbalannya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ini dilakukan kerana kedua-dua pemimpin itu telah lama mentadbir negeri tersebut.
Beliau berkata, keputusan itu juga dilakukan untuk memberi peluang kepada pemimpin baharu dan mewujudkan suasana serta semangat baharu di negeri itu.
Pada masa sama, menurutnya, pertukaran Menteri Besar itu adalah atas permintaan daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sendiri yang mahu melepaskan jawatan berkenaan kerana faktor kesihatan.
“Menteri Besar mengundurkan diri kerana uzur, bahkan dulu pun beliau merayu supaya tidak dilantik (tetapi) kita minta lagi desak dan masa tengah-tengah bertugas pun dia minta (mengundur diri), (beliau) memang keuzuran, berapa kali masuk hospital kena rawatan.
“(Jadi) kali ini, kita pertimbanglah (kerana) kasihan kepada beliau dan (beliau) masih lagi menjadi wakil rakyat memberi sumbangan.
“Kita mahu supaya semangat baharu di Kelantan, ada perubahan dan sebab itu timbalannya juga diubah (dan) tidak ada (apa-apa isu) memanglah lama sangat memerintah 30 tahun, bila lama macam ini letihlah orang yang jalan tugas itu, mesti kena buat giliran,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila di sini, hari ini.
Bagaimanapun. Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memberitahu, pertukaran dua jawatan itu juga bergantung kepada perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
“Menteri Besar (dan) Timbalan ada pertukaran (tetapi) pengumuman itu bergantung kepada persetujuan Tuanku kerana pelantikan kerajaan ini melibatkan Tuanku, parti dan rakyat.
Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, kelantan bakal mendapat Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baharu sekiranya Pas dan Perikatan Nasional (PN) kekal mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau menjelaskan, pihaknya memutuskan perubahan kedudukan dua jawatan itu dengan mengemukakan gabungan kepemimpinan baharu iaitu seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan.
Selain itu, Pas memutuskan untuk mengekalkan Menteri Besar Terengganu dan Kedah, namun tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan kedua-dua negeri.
Katanya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat yang dipengerusikan oleh Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awan di Rusila, Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN