Bengkel kenderaan terbakar, pemilik alami kerugian RM100,000 - Utusan Malaysia

Bengkel kenderaan terbakar, pemilik alami kerugian RM100,000

AHMAD Razif Abd. Rahman (dua kiri) bertanyakan sesuatu kepada Wan Nazari Wan Mohamad ketika melawat bengkel kenderaan yang terbakar di Lorong Wakaf Baru, Kampung Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seorang pemilik bengkel kenderaan mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas premisnya hangus dijilat api di Lorong Wakaf Baru dekat Kampung Wakaf Tembesu, malam tadi.

Wan Nazari Wan Mohamad, 43, berkata, kejadian kira-kira pukul 12.55 malam itu turut mengakibatkan 17 buah kenderaan milik pelanggan yang berada di dalam bengkel musnah.

Menurut Wan Nazari, dia berada di rumahnya di Kampung Kubang Badak di sini sebelum diberitahu melalui panggilan telefon oleh seorang rakannya memaklumkan kejadian tersebut.

“Sebaik tiba di bengkel, saya mendapati bengkel yang diusahakan sejak 15 tahun lalu ini telah musnah dan api sangat marak membakar kawasan premis termasuk kenderaan pelanggan.

“Saya sempat masuk dan mengeluarkan enam buah kenderaan ke tempat selamat namun kira-kira 17 buah lagi termasuk pacuan empat roda dan kenderaan mewah telah dijilat api.

“Turut musnah adalah kawasan membaiki kereta yang baru diubah suai dengan kos RM100,000 termasuk alat ganti kenderaan dan mesin,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.59 malam sebelum sepasukan 28 anggota dikerah ke tempat kejadian.

Menurut beliau, bangunan bengkel jenis sementara itu hangus 90 peratus dengan punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman turut melawat bengkel tersebut selepas mengetahui kejadian kebakaran itu, hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya