PETALING JAYA: Bakal menyambung pelajaran dalam bidang pemasaran, pelakon, Mia Sara menegaskan tujuan dia meneruskan pengajian bukan untuk menunjuk-nunjuk dan memudahkan peluang pekerjaan.
Sebaliknya jelas pelakon itu, dia mahu membina keyakinan diri supaya tidak ‘kosong’ dengan ilmu dan mempelajari pelbagai kemahiran lain yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan harian.
“Saya bercakap untuk diri sendiri. Belajar bukan untuk berlagak pandai atau menunjuk-nunjuk. Tetapi lebih kepada bekalan untuk saya sendiri. Saya mahu ada lebih banyak kemahiran.
“Dalam pada masa sama, saya bukanlah mahu mencari kerja lain, lakonan masih keutamaan. Saya mahu bina keyakinan diri. Bila kita kena mencari ilmu supaya tak ‘kosong’.
“Saya pun tiada perancangan mahu berhenti berlakon. Saya akan cuba seimbangkan kedua-dua bidang. Saya cintakan lakonan, cuma pelajaran sangat penting,” ujar pelakon berusia 18 tahun itu.
Dalam pada itu, Mia berkata, dia sebolehnya tidak mahu lagi membawakan watak pelajar sekolah dan mengidamkan untuk diberi watak-watak yang lebih dewasa terutama sebagai teraju utama.
Sedar dengan ekadaan fizikal yang kecil, Mia yang berketinggian 149 sentimeter itu bagaimanapun terpaksa menolak pelbagai tawaran sebagai pelajar sekolah kerana sudah bosan.
“Banyak watak lain yang saya idamkan, tetapi saya kalau boleh sudah tidak mahu lagi jadi budak sekolah. Dah 13 tahun asyik bawa watak sebagai pelajar. Kalau ikutkan, banyak watak pelajar sekolah yang saya tolak.
“Mula-mula takut juga kan, orang kata tolak rezeki. Tetapi saya percaya, rezeki itu sudah tertulis untuk kita.
“Saya sudah bersedia dan mahukan watak remaja yang menginjak dewasa. Walaupun mungkin keadaan fizikal saya agak comel, tetapi saya fikir kenapa tidak kan,” kongsinya.