BESUT: Meskipun tidak tercalon semula bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, bekas wakil rakyat di negeri ini tetap memberi sokongan kepada calon-calon muka baharu yang ditampilkan Barisan Nasional (BN).
Tinjauan Utusan Malaysia di seluruh Terengganu sepanjang tempoh berkempen mendapati bekas wakil rakyat terbabit sanggup bersengkang mata dan menyingsing lengan membantu calon-calon baharu agar kemenangan menjadi milik Kerajaan Perpaduan.
Bekas wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, Mohd. Iskandar Jaafar berkata, kerjasama yang diberi sangat penting sebagai tanda sokongan dan solidariti atas nama parti bukannya atas kehendak peribadi.
“Dulu, ketika menjadi calon baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-13, saya turut mendapat sokongan daripada bekas wakil rakyat iaitu Ramlan Ali.
“Kali ini, kami berdua pula sama-sama gunakan pengalaman yang ada untuk bantu kempen calon baharu DUN Jabi iaitu Rosdi Zakaria. Semoga gabungan kerja kami bertiga ditambah jentera dan penyokong akar umbi dapat merampas kembali Jabi pada Sabtu ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, hari ini.
Bekas wakil rakyat DUN Permaisuri, Datuk Abdul Halim Jusoh pula berkata, beliau sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu kempen calon baharu Hamdan Hamzah untuk memastikan Permaisuri kekal menjadi milik BN dalam PRN kali ini.
“Saya akan tetap bantu calon meneruskan semua perancangan yang telah BN cadangkan sebelum ini jika menang agar semua matlamat itu dapat direalisasikan.
“Penglibatan aktif dalam setiap gerak kerja dan program yang diatur rapi sepanjang kempen kali ini sangat penting untuk kemenangan UMNO agar angin perubahan dapat dirasakan di seluruh Terengganu,” katanya.
Bekas wakil rakyat DUN Kota Putera, Mohd. Mahdi Musa pula berkata, walaupun agak sibuk dengan perniagaan sejak kebelakangan ini, beliau tetap meluangkan masa membantu calon, Datuk Muhammad Pehimi Yusof.
“Muhammad Pehimi sangat berpengalaman dalam bidang politik kerana pernah menabur bakti di sini dan Jerteh pada penggal yang lalu, namun saya tetap membantunya dengan kemampuan yang ada untuk merampas kembali Kota Putera kali ini,” katanya. – UTUSAN