Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Bekas Timbalan Pengarah Kanan DBKL dipenjara 4 tahun dan denda RM1 juta 

SABUDIN Mohd. Salleh tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar hukuman atas dua kesalahan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja. UTUSAN/SHIDDIIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM1 juta terhadap bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd. Salleh terhadap dua kesalahan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.

Hakim K. Muniandy menjatuhkan hukuman itu terhadap Sabudin, 61, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan sekaligus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum ini melepas dan membebaskannya daripada kedua-dua pertuduhan tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan pertuduhan kedua hukuman penjara yang sama. Hukuman berkuatkuasa serentak.

Sementara  denda sebanyak RM1 juta bagi kedua-dua pertuduhan dan sekiranya tertuduh gagal membayarnya, dia boleh dipenjara selama empat tahun.

“Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara dan denda itu sehingga rayuan akhir didengar di Mahkamah Rayuan kelak,” kata Hakim Muniandy.

Pada 27 Julai lalu, mahkamah mensabitkan Sabudin terhadap dua pertuduhan memperoleh suapan selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan, sekaligus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskannya selepas akhir kes pembelaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, yang turut dibantu TPR Natrah Fareha Rahmat memohon supaya Sabudin dikenakan hukuman penjara antara lima dan 10 tahun serta denda RM1 juta, mengambil kira faktor kepentingan awam selain kesalahan itu serius kerana melibatkan kes rasuah. 

Seorang lagi peguam mewakili Sabudin, Y. Sheelan Samuagam bagaimanapun memohon supaya anak guamnya dipenjara sehari atas alasan dia menghidap osteoartritis pada bahagian kedua-dua lututnya dan telah menjalani beberapa pembedahan besar.

“Anak guam saya tidak dapat berdiri atau berjalan dengan baik selain memerlukan bantuan kerusi roda. Selepas kaki kirinya menjalani pembedahan pada Januari tahun ini, keadaannya tidak stabil. Oleh itu, dia perlu kerap mendapatkan rawatan susulan di hospital,” kata peguam itu.

Hakim Muniandy mensabitkan Sabudin selepas berpuas hati hakim Mahkamah Sesyen melakukan kesilapan serius ketika melepas dan membebaskan tertuduh pada akhir kes pembelaan.

Pada hemat beliau, hakim bicara terkhilaf ketika menerima pembelaan Sabudin bahawa beliau tidak mengenali mahupun pernah bertemu dengan saksi utama pendakwaan, Wong May Kuan (subkontraktor kepada Dusari Niaga) yang namanya disebut dalam pertuduhan.

Hakim Muniandy berpendapat, pembelaan tertuduh jauh sekali boleh dipercayai kerana May Kuan yang merupakan saksi pendakwaan ketiga (SP3) mengenali Sabudin dan pernah menghadiri majlis pernikahan anak lelakinya.

“Keterangan itu tidak disangkal. Tiada sesiapapun termasuk tertuduh yang akan menjemput orang asing ke majlis perkahwinan yang merupakan satu majlis sosial. Jemputan itu membuktikan tertuduh mengenali SP3,” ujar hakim berkenaan.

Pihak pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Sesyen pada 15 September 2022 yang melepas dan membebaskan Sabudin, 61, daripada dua pertuduhan rasuah, di akhir kes pembelaan.

Sabudin diperintahkan membela diri selepas Mahkamah Tinggi pada 24 Mac 2022 membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 18 Disember 2020, yang membebaskannya daripada dua tuduhan itu, di akhir kes pendakwaan.

Bagi kedua-dua tuduhan, dia yang ketika itu Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa memperoleh suapan RM200,000 daripada May Kuan sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.

Kerja itu berkaitan `Cadangan Kerja-kerja Pengisaran dan Penurapan Semula Jalan bagi Bekas Lubang Gali Syarikat Utiliti Di Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk DBKL Bagi Tahun 2018/2020 (2017/A214)’.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di dalam kedai serbaneka di sebuah stesen minyak, di Jalan Lingkaran Tengah 2, Bukit Antarabangsa di sini dan di hadapan kediamannya di Ukay Perdana, Ampang, masing-masing pada 9 Jun 2018 dan 17 Januari 2019.

Tuduhan itu mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya