PETALING JAYA: Suhaizan Kaiat diumumkan sebagai calon Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Pulai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 September ini.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu bertanding bersama calon PH bagi kerusi DUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman.
Kedua-duanya dicalonkan susulan kematian penyandang kerusi kawasan itu iaitu Timbalan Presiden Amanah, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan itu dicapai selepas Jawatankuasa Pemilihan Calon bermesyuarat dan mengemukakan senarai calon kepada beliau serta Ahli Jawatankuasa Nasional Amanah pada 17 Ogos lalu.
“Setelah mengambil kira semua faktor dan pandangan daripada jawatan kuasa ini, saya dengan ini mengumumkan calon-calon yang akan bertanding mewakili Amanah dan PH serta parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
“Insya-Allah, calon-calon ini akan diperkenal dalam Majlis Memperingati Allahyarham Datuk Seri Salahuddin pada 23 Ogos di DUN Simpang Jeram, Johor Darul Takzim,” katanya dalam kenyataan.
Suhaizan adalah Setiausaha Politik kepada Salahuddin selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sejak Januari tahun ini sehingga pemergiannya pada 23 Julai lalu.
Beliau pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Parit Sulong pada 2004 dan Simpang Renggam pada 2013 ketika mewakili Pas namun tewas di kedua-dua kerusi tersebut.
Selain itu, beliau pernah bertanding empat kali di peringkat DUN iaitu Kempas (2008 dan 2013), Kukup (2018) dan Pulai Sebatang (2022) namun tewas di semua kerusi ditandingi. – UTUSAN