MENTOUGOU: Sekurang-kurangnya 11 orang maut dan 27 lagi masih hilang dalam kejadian hujan lebat di Beijing, lapor media tempatan.
Hujan lebat tanpa henti menyebabkan kebanyakan jalan raya dinaiki air dan kawasan perumahan dilanda banjir lumpur.
Dilaporkan, Taufan Doksuri mencetuskan hujan lebat berterusan di bandar itu sejak 29 Julai lalu, dengan hujan paling teruk melanda bahagian barat, barat daya dan selatan.
Hujan lebat mula melanda Beijing dan kawasan sekitarnya pada Sabtu lalu, dengan purata jumlah taburan hujan di ibu negara bagi sepanjang bulan Julai dicatatkan dalam masa 40 jam sahaja.
Beberapa kawasan pinggir bandar Beijing masih teruk dilanda hujan, antara paling lebat direkodkan di bandar itu dalam tempoh beberapa tahun.
Penyiar kebangsaan CCTV melaporkan sekurang-kurangnya 11 orang meninggal dunia dan 27 lagi masih hilang.
Mangsa yang maut termasuk empat di Mentougou dan dua di Fangshan, daerah yang paling terjejas teruk.
Empat lagi kematian dilaporkan di Daerah Changping dan satu kes di Daerah Haidian, menurut ibu pejabat kawalan banjir dan kemarau di bandar itu.
Berdasarkan laporan media tempatan, antara mangsa maut membabitkan dua anggota penyelamat yang meninggal dunia ketika melakukan operasi menyelamat.
Sementara itu, akhbar Global Times melaporkan lebih 100,000 penduduk yang tinggal di bandar itu berjaya dipindahkan. – AFP/XINHUA