BUKIT MERTAJAM: Seorang bayi lelaki warga tempatan berusia setahun meninggal dunia kelmarin, dipercayai akibat didera.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, terdahulu polis menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada pihak Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang mendakwa bayi tersebut maut dengan kesan dera kira-kira pukul 7 petang.
Menurut Cheng San, mangsa sebelum itu dibawa ke hospital tersebut oleh seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mendakwa bayi malang itu pengsan dan memerlukan rawatan susulan.
Kata Cheng San, suspek bagaimanapun bergegas meninggalkan kawasan hospital tidak lama kemudian.
“Ekoran kejadian tersebut, empat lelaki dan lima wanita warga tempatan yang berusia antara 16 hingga 48 tahun ditahan di sekitar Seberang Perai bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut mendapati, salah seorang daripada suspek yang ditahan itu mempunyai lima rekod jenayah atas pelbagai kesalahan,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Cheng San, kesemua yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk direman dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN