GEORGE TOWN: Kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dan adiknya berusia 40 hari yang dilaporkan dicampak dan dihempas oleh bapa saudara mereka dalam kejadian di sebuah blok di Flat Nusantara, Sungai Pinang di sini, kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kedua-dua mangsa sedang mendapatkan rawatan di wad biasa HPP.
”Setakat ini keadaan mereka stabil dan berada di wad biasa, bayi yang berusia 40 hari hanya akan ditahan dalam tempoh 24 jam sahaja lagi dan esok sudah boleh dibawa pulang.
”Bagi kakaknya yang berusia tiga tahun, imbasan yang dijalankan mendapati tidak ada pendarahan otak berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.
Semalam, polis menahan reman pemuda berusia 28 yang bertindak mencampakkan dua anak saudaranya selepas menerima laporan kejadian terbabit daripada bapa mangsa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang kelmarin itu, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami kecederaan patah kaki kiri dan cedera pada mulut akibat dicampak suspek dari tingkat satu koridor rumah berkenaan.
Sementara itu,, adik kanak-kanak perempuan berkenaan yang berusia 40 hari turut dihempas ke lantai rumah.
Menurut Soffian, rawatan lanjut ke atas mangsa mendapati kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun itu mengalami kecederaan iaitu retak di tulang paha kiri dan cedera di bibir.
“Adiknya pula mengalami bengkak di kedua-dua mata, tetapi tidak mengalami kecederaan serius yang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Soffian berkata, suspek juga telah menjalani pembedahan di tangan selepas dia mencederakan diri sendiri semalam dan berada dalam keadaan stabil.
”Suspek masih lagi meracau di hospital dan dia sebut dia telah mati dua hari lalu, dia berada dalam kawalan pihak polis di HPP.
”Kita tidak boleh sahkan dia ada masalah mental kerana hanya pihak hospital yang boleh sahkan mengenai hal itu. Ujian darah suspek juga telah diambil bagi melihat sama ada dia di bawah pengaruh dadah ketika kejadian,” katanya.
Tambahnya, menerusi siasatan awal juga, ahli keluarga suspek memaklumkan suspek berkelakuan aneh sejak dua bulan lalu tanpa sebarang sebab. – UTUSAN