PETALING JAYA: Pelakon, Amelia Henderson tidak risau sekirannya wataknya sebagai seorang pelacur dalam drama bersiri baharu, 1 Million Dollar Voice bakal menuai kecaman dan ‘kebencian’ segelintir warganet.
Jelasnya, adalah tidak logik untuk dia dikecam gara-gara watak yang dijayakan sementelah penonton kini sudah bijak sudah pandai menilai keberkesanan dan bakat seseorang pelakon.
“Saya bukan pelacur hanya kerana membawakan watak tersebut. Setiap penonton ada tanggungjawab untuk menilai watak menerusi lakonan saya. Kalau setiap kali saya bawa watak ‘gelap’ dan dibenci, itu tidak logik.
“Watak itu pun ada jalan cerita sendiri. Mengapa dia menjadi seorang pelacur? Apa yang membuatkan dia terperangkap dalam dunia itu? Saya tak takut pun jika dikecam kerana karakter.
“Saya terima watak ini kerana berbeza. Tak pernah ada produser yang menawarkan watak sebegini kepada saya. Emosi memang macam roller coaster bila bawa watak Zana ini,” kongsinya.
Drama yang turut menampilkan gandingan pelakon antaranya Emma Maembong, Lah Ahmad, Tracie Sinidol dan Layla Sania itu akan mula ditayangkan Isnin depan di Astro Ria.
Dalam pada itu, Amelia yang perlu menyanyi dalam drama tersebut juga mengharapkan agar penerimaan penonton terbuka terhadap nyanyiannya apatah lagi, dia bukan seorang penyanyi profesional.
“Dah lama sebenarnya saya tak menyanyi. Orang lebih nampak saya rapping. Bukan saya tak minat tau dunia nyanyian tetapi tak yakin lah. Dalam drama ini, saya kena menyanyi, menari dan berlakon seali.
“Kalau kata sampai masuk kelas vokal itu tidaklah. Ada enam lagu yang sudah dirakam, semua untuk program realiti yang menjadi jalan cerita utama drama tersebut,” katanya.