PASIR PUTEH: Tindakan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa membangkitkan isu Kelantan tidak maju disebabkan kesalahan kerajaan Pusat boleh diumpamakan seperti menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu perlu mengakui kesalahan tersebut memandangkan beliau sendiri sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
“Dia pernah menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, dia harus mengakui kesalahannya (tidak majukan Kelantan),” katanya selepas Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Perumahan Nelayan Tok Bali, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Annuar mendakwa sekiranya Kelantan tidak maju, ia adalah 80 peratus kesalahan Kerajaan Persekutuan.
Annuar berkata, ini kerana negara mengamalkan sistem federalisme iaitu sudah dihuraikan apa tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan tanggungjawab bersama.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, dakwaaan Annuar pada 4 Ogos lalu berhubung pengisytiharan beramai-ramai keluar UMNO hanyalah retorik.
Katanya, apa yang berlaku hanya melibatkan anak-beranak Annuar sahaja. – UTUSAN