Bangga anak murid jadi Ketua Menteri

Bangga anak murid jadi Ketua Menteri

AB. RAUF Yusoh (kanan) menyampaikan jambangan bunga kepada Patimah Abu Hasan (empat dari kiri) pada program ziarah kasih di Batu Berendam, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang guru tidak menyangka seorang murid yang pernah dididiknya hampir 50 tahun lalu kini bergelar Ketua Menteri.

Pesara guru, Patimah Abu Hasan, 80, berkata, walaupun terputus hubungan begitu lama dengan Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, beliau masih mengingatinya sebagai guru yang pernah mengajarnya subjek bahasa Melayu.

Katanya, dia terkejut apabila anaknya memaklumkan Ketua Menteri mahu datang melawat rumahnya.

“Rupa-rupanya dia masih ingat saya sebagai gurunya yang mengajar di Sekolah Menengah Ghafar Baba (SMGB) sekitar 1970.

“Saya rasa bangga apabila dapat tahu hasil didikan di SMGB berjaya melahirkan seorang Ketua Menteri yang membawa nama Melaka. Setakat ini dua bekas pelajar SMGB berjaya menjadi Ketua Menteri iaitu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Ab. Rauf.

“Saya tidak mengingati keperibadian Ab. Rauf kerana bilangan pelajar yang ramai dan silih berganti. Bagaimanapun, saya gembira kerana dia masih mengingati saya,” katanya ketika ditemui pada program ziarah kasih di rumahnya di Batu Berendam di sini, semalam.

Sementara itu, Ab. Rauf berkata, guru adalah antara insan istimewa dan penting dalam hidupnya.

Menurutnya, kunjungan ke rumah gurunya itu bertujuan bertanya khabar, melepaskan rindu dan membalas jasa individu yang membentuknya menjadi seorang pemimpin.

“Alhamdulillah, terima kasih Cikgu Patimah yang banyak mendidik saya dan rakan sekelas sehingga ramai yang melakar kejayaan hari ini. Banyak kenangan yang tidak dapat saya lupakan hasil tunjuk ajar Cikgu Patimah.

“Antara kenangan sepanjang bersama Cikgu Patimah adalah didenda berdiri atas kerusi dan berlari keliling padang. Bagi saya apa yang dilakukan Cikgu Patimah adalah untuk mendidik anak murid agar menjadi manusia yang berguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya