PETALING JAYA: Pelakon, pengarah dan penerbit, Aziz M. Osman dilaporkan sudah bercerai dengan isterinya, Puteri Lily Lokman sejak bulan lalu.
Berita mengejut itu didedahkan sendiri oleh Puteri Lily menerusi hantaran di Instagram Story, hari ini.
Jelasnya, pendedahan itu dibuat bagi mengelakkan timbul sebarang fitnah antara dirinya dengan bekas suami di kemudian hari.
“Assalamualaikum kepada ahli keluarga dan kawan rapat, ramai yang bertanya tentang status hubungan saya dengan Aziz.
“Saya dengan rendah diri ingin menyampaikan berita.. Saya dengan Aziz sudah berpisah dengan cara baik bulan lalu,” tulisnya dalam media sosial.
Pada masa sama, Puteri Lily memaklumkan punca perceraian mereka bukan disebabkan faktor orang ketiga.
Jelasnya, perceraian tersebut tidak menjejaskan hubungan mereka dengan anak-anak, Puteri Nur Azzahra, 11 dan Putera Muhamad Aryan, 5.
“Telah ditakdirkan jodoh kami sampai di sini, tapi kami masih mempunyai hubungan yang baik demi anak-anak, Inshaa Allah.
“Alhamdulillah, Ara seorang anak yang sangat matang. Dapat terima keputusan ini dengan tenang. Doakan anak-anak saya kuat emosi dan mental mereka. Doakan urusan kami dipermudahkan,” jelasnya.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga sejak 6 Jun 2010 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua anak.
Untuk rekod, perkahwinan tersebut merupakan kali ketiga buat Aziz yang sebelum itu pernah bergelar suami kepada pelakon, Nor Aliah Lee dan memiliki enam anak.
Selepas berpisah dengan Nor Aliah Lee, Aziz berkahwin pula dengan Nor Radhiah pada 4 April 2008.
Utusan Malaysia berusaha mendapatkan respons daripada Aziz berhubung status rumah tangganya. Tinjauan di media sosial rasminya mendapati Aziz, kali terakhir berkongsi video mengenai anaknya.