'Ayah bagi gambar, pesan simpan baik-baik'

‘Ayah bagi gambar, pesan simpan baik-baik’

MUHAMMAD Sharul bersama adiknya Nur Izzara Arissya menunjukan gambar bapanya Sharipuddin Shaari yang maut dalam nahas pesawat ketika ditemui di Sepang. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR/P
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Dua keping gambar bersaiz pasport menjadi tanda kenangan terakhir buat seorang anak daripada bapanya yang juga pemandu e-hailing yang terlibat dalam nahas sebuah pesawat terhempas dekat kawasan perumahan Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, semalam.

Muhammad Sharul Izuan, 16, memaklumkan, dia hanya mengetahui tentang insiden yang menimpa bapanya, Sharipuddin Shaari, 53, setelah dimaklumkan oleh anggota polis yang datang ke rumah mereka sekitar pukul 6 petang semalam.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, dia, ibu serta adik perempuan seakan tidak percaya arwah bapanya yang keluar untuk mencari rezeki turut terlibat dalam nahas berkenaan.

“Saya tahu (mengenai kejadian) dalam pukul 6 lebih masa kereta peronda polis datang rumah. Arwah ayah juga ada hubungi ibu kira-kira pukul 2.15 petang memaklumkan sedang berhenti minum sebentar, kejap lagi abang (ayah) balik.

“Pagi semalam, sebelum ke sekolah saya sempat bertegur dengan ayah yang ketika itu sedang memeriksa dan mengisi air di ruangan enjin kereta, namun dia tidak cakap apa-apa.

“Tapi minggu lepas ketika kami sekeluarga dalam perjalanan menuju ke sebuah pusat beli-belah, ayah ada beri dua keping gambarnya kepada saya, ayah cakap ambil dan simpan (gambar ini),” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Desa Vista di sini hari ini.

Tambah pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi itu, dia sering bercerita mengenai bapanya bersama rakan-rakan sejak akhir-akhir ini, namun tidak menyangka ia adalah petanda bahawa bapanya itu akan pergi selamanya.

Jelas Muhammad Sharul, adik perempuannya, Nur Izzara Arissya, 9, juga sangat rapat dan begitu disayangi oleh arwah bapanya.

“Kelmarin, biasanya ayah akan makan malam. Tapi dia tidak mahu makan dan hanya suruh saya sahaja yang makan.

“Bila dapat tahu berita memang tidak percaya. Tapi selepas tengok dashcam (perakam papan pemuka kenderaan), memang betul itu ayah dan kami reda,” ujarnya.

Sharipuddin yang berasal dari Arau, Perlis meninggalkan seorang balu, Suriana Muda, 43 dan dua orang anak.

Difahamkan, jenazah Sharipuddin akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sultan Hishamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi pada petang ini.

Dalam insiden pada pukul 2.50 petang semalam, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat ringan terhempas di persiaran bandar Elmina, berdekatan Lebuhraya Gutrie.

Pesawat yang berlepas dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada pukul 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat.

Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya