Awie buktikan kemampuan nyanyi lagu keroncong - Utusan Malaysia

Awie buktikan kemampuan nyanyi lagu keroncong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYANYI, Datuk Awie membuktikan versatilitinya dengan membawakan lagu pelbagai genre ketika membuat persembahan secara live.

Disebabkan itu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman dianggap penggiat seni serba boleh yang berani keluar kepompong, mencuba kemahiran seni lain.

Penganjuran konsert Apresiasi Irama Keroncong di Istana Budaya, baru-baru ini merekodkan satu lagi pencapaian dalam kerjaya anak kelahiran Datuk Keramat, Kuala Lumpur ini.

Awie memukau pengunjung dengan kemampuannya membawakan lagu popular yang digubah dan dipersembahkan dalam irama tersebut.

Penyanyi berusia 55 tahun itu mendendangkan lagu Ratuku selain lagu dipopularkan Allahyarham Tan. Sri P. Ramlee, Malam Bulan Di Pagar Bintang yang dipersembahkan bersama penyanyi, Alyah.

Awie meluahkan rasa gembira apabila percubaannya menyanyikan lagu berirama keroncong diterima baik peminat.

Dia berharap persembahannya malam itu disusuli dengan reaksi positif, bukan cerita-cerita yang kurang enak didengar.

“Sebenarnya saya sudah cuba bermacam-macam jenis lagu. Antaranya seperti dangdut, joget, asli, rap dan sebagainya. Keroncong adalah kali pertama buat saya.

“Alhamdulillah. Saya gembira apabila percubaan tersebut menjadi dan membuatkan penonton suka.

“Saya mahu menjadi penyanyi yang versatil dan merasai sendiri susah payah membawakan lagu jenis itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Konsert Apresiasi Irama Keroncong menampilkan nama-nama besar antaranya Datuk Yusni Hamid dan Datuk Khatijah Ibrahim.

Turut membuat penampilan adalah Rasyidah Abd. Rahim yang merupakan peserta Bintang Klasik 2012, Jamilah Abu Bakar (Puteri Keroncong) dan Rizal Ahmad (Juara Bintang Nostalgia 2013).

Persembahan tersebut turut menampilkan pemuzik dan konduktor berprofil tinggi iaitu Mahzan Manan dan Jari.

Bagaimanapun, hasrat penonton untuk menyaksikan penyanyi asal Korea Selatan, Han Byul membawakan lagu keroncong tidak kesampaian apabila penglibatannya sempena konsert tersebut tidak mendapat kelulusan Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Dalam pada itu, kebijaksanaan Awie membawakan lagu keroncong dengan caranya sendiri menerima pujian pelbagai pihak.

Awie kelihatan sedaya upaya menghormati melodi asal meskipun lagu-lagu tersebut dipersembahkan dalam muzik berbeza.

“Saya ikut melodi asal, itu kita tak boleh nak ubah. Yang diubah adalah muzik, yang telah ‘dikeroncongkan’.

“Dalam apa keadaan sekalipun, penyanyi kena ikut melodi asal. Itu yang saya jaga ketika menyanyikan lagu-lagu tersebut,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya