KANGAR: Kerajaan negeri memutuskan akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang sama dengan Kerajaan Pusat untuk sambutan peringkat negeri pada tahun ini.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pendirian tersebut adalah atas semangat patriotisme dan federalisme antara negeri dan kerajaan di peringkat pusat.
Katanya, tindakan itu juga selaras dengan keputusan kerajaan negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah yang membuat keputusan sama sekali gus tidak timbul lagi sebarang isu menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang bakal diraikan dalam semangat kekeluargaan yang merangkumi pelbagai kaum.
“Kita juga memutuskan akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang sama dengan Kerajaan Pusat untuk sambutan peringkat negeri pada tahun ini,” katanya di sini hari ini.
Sebelum itu, kerajaan negeri Terengganu, Kedah dan Terengganu turut memutuskan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang sama dengan Kerajaan Pusat untuk sambutan peringkat negeri pada tahun ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor antaranya berkata, tindakan itu selaras dengan keputusan kerajaan negeri Terengganu yang membuat keputusan sama, sebelum ini.
“Pendirian kita sama seperti Terengganu iaitu ikut Kerajaan Persekutuan. Tak ada isu apa pun kita menggunakan logo serta tema yang sama kerana sambutan itu di peringkat Persekutuan, jadi kita di negeri ikut sajalah,” kata Muhammad Sanusi.
Manakala, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan pula berkata, kerajaan negeri itu memutuskan menggunakan tema Hari Kebangsaan yang sama dengan kerajaan Pusat bagaimanapun pihaknya akan menambah slogan Membangun Bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri dibelakang tema tersebut.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berharap semua negeri menggunakan tema serta logo sambutan yang sama seperti diperkenalkan kerajaan Persekutuan.
Fahmi mengumumkan tema Hari Kebangsaan 2023 ialah ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’.
Sabtu lepas, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari dalam satu sidang akhbar mencadangkan supaya kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis bawah pentadbiran PN menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza di peringkat negeri.-UTUSAN