PETALING JAYA: Kumpulan terkenal Indonesia, Armada Band teruja menjelang konsert pertamanya di Malaysia dekat Zepp Kuala Lumpur, Oktober depan.
Vokalisnya, Rizal dalam masa yang sama mengakui mereka gemuruh mengenangkan deretan konsert lain yang berlangsung pada bulan yang sama.
“Untuk konsert pertama kami di Malaysia ini, tentunya kami rasa teruja.
“Pada masa sama, ada juga rasa gemuruh memandangkan sekarang adalah musim kebanjiran konsert di Malaysia, yang mana sedikit sebanyak memberi tekanan buat kami.
“Jadi, konsert ini harus berbeza dan memberi impak kepada penonton yang hadir,” katanya yang turut memaklumkan sedang giat membuat persiapan menjelang konsert tersebut.
Tambahnya, band berkenaan bakal mempersembahkan 15 lagu di samping membawa kejutan istimewa buat peminat sempena konsert itu nanti.
“Di acara konsert ini, kami akan persembahkan 15 lagu dan konsepnya agak pelbagai. Susunan muzik juga akan diberikan sentuhan baharu yang menarik buat peminat.
“Kami akan tampilkan penyanyi jemputan yang akan turut sama menyertai kami kami membuat persembahan. Namun, itu biarlah kami simpan dahulu sebagai kejutan dan akan diumumkan kelak,” katanya lagi.
Tiket untuk konsert tersebut dijual bermula harga RM129 sehingga RM6,999 untuk VIP di laman sesawang ticket.2u.com.my.
Selain Rizal, Armada juga turut dianggotai Andit dan Mai.