Anwar sambut hari jadi di pentas ceramah  - Utusan Malaysia

Anwar sambut hari jadi di pentas ceramah 

ANWAR Ibrahim (tengah) mengangkat tangan kepada penyokongnya selepas ceramah Jelajah Perpaduan Madani di PPR Hiliran, Kuala Terengganu, malam tadi.. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pentas  ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di sini, berakhir dengan nyanyian lagu ulang tahun kelahiran, sebentar tadi.

Nyanyian ‘Allah Selamatkan Kamu’ itu dimulakan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan, pukul 12 tengah malam sempena ulang tahun kelahiran Anwar ke-76 yang jatuh pada hari ini.

Anwar terdahulu menyampaikan ceramah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di sini, yang merupakan lokasi terakhir ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Terengganu sejak petang tadi.

Hadir sama, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Dalam lawatan kerja seharinya di negeri ini, Anwar berkesempatan merasmikan Karnival Sahabat Usahawan Madani dan sesi perjumpaan bersama golongan usahawan di negeri ini.

Ahli Parlimen Tambun itu turut menyampaikan ceramah di Batu Hampar, Telemung dan Wakaf Tapai sebelum berakhir di PPR Hiliran.

Sementara itu, ketika berceramah pada ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran itu, Anwar berkata, beliau memaafkan individu yang memukulnya sebelum ini dan melemparkan tohmahan terhadapnya.

Bagaimanapun, tambahnya, beliau tidak akan sesekali memaafkan dan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencuri hasil negara.

Katanya, pihak yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Apa yang saya tak maafkan, yang lain semua saya maafkan tetapi curi tanah kerajaan, tanah rakyat, saya tak maafkan, kamu curi balak saya tak maafkan, kamu curi projek dana wibawa rakyat saya tak maafkan, kamu curi dan sakau projek saya tak maafkan.,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya