KEPALA BATAS: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengundi muda dalam kelompok usia antara 18 hingga 25 tahun mempunyai pengaruh besar dalam menentukan corak politik dan masa depan negara.
Sehubungan itu, tegas Perdana Menteri, kelompok pengundi muda berkenaan harus memikirkan dengan sebaik-baiknya bagaimana mereka mahu mencorakkan masa depan negara dengan kuasa undi yang dimiliki mereka termasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Jelasnya, ia sama ada kelompok pengundi muda itu mahukan sebuah negara dengan keterlibatan semua kaum yang memiliki dasar ekonomi yang jelas serta mampu menarik pelaburan sekali gus dapat menjamin masa depan mereka.
Atau tambah beliau, sama ada mereka mahukan sebuah kerajaan seperti di negeri-negeri tertentu yang tidak ada pengalaman serta yang menakut-nakutkan pelabur untuk ke negeri berkenaan.
“Sebab itu saya harap anak-anak muda membuat keputusan yang bijak dan pastikan masa depan anda terjamin, sebab anda yang akan menentukan apa yang anda mahukan untuk masa depan,” katanya pada program Temu Anwar: Bicara Pendidikan Madani di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, di sini hari ini.
Anwar menjawab soalan salah seorang penuntut yang bertanyakan sama ada undi golongan muda terutama pengundi pertama kali berusia 18 tahun dapat merubah landskap politik negara.
Menjelaskan lebih lanjut, Anwar berkata, dari sudut kerajaan, pihaknya akan terus berusaha untuk membawa lebih banyak pelaburan asing ke dalam negara seterusnya memastikan generasi muda mendapat peluang pekerjaan.
Sementara itu, kepada soalan misi dan visi beliau dalam sektor pendidikan dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang, Anwar berkata, kerajaan berhasrat memperkenalkan jenis sekolah baharu yang menyasarkan kepada anak-anak daripada golongan paling miskin di negara ini.
Jelas beliau, pelaksanaan jenis sekolah berkenaan akan berpandukan kerangka sekolah menengah sains serta berasrama penuh bagi membolehkan golongan berkenaan berpeluang mendapat akses pendidikan, walaupun keputusan peperiksaan mereka kurang memberangsangkan.
“Ini (cadangan memperkenalkan jenis sekolah baharu bagi golongan paling miskin) akan memberi makna manusiawi dan keadilan kepada mereka.
“Akses dan peluang (perlu diberikan) secara saksama bagi membolehkan tiada mana-mana golongan yang tercicir. Kita ada pendemokrasian mutu pendidikan bagi membolehkan semua berhak (mendapatkan pendidikan).
“Ketika ini (semua pihak) berhak. Nama sahaja berhak tetapi sekolah di Manik Urai, Kelantan; Kapit, Sarawak; Pulau Pinang dan Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak tetap ada kesenjangan (tidak seimbang),” katanya. – UTUSAN