Anthony Loke jamin tiada tukaran tanah milik kerajaan kepada swasta

Anthony Loke jamin tiada tukaran tanah milik kerajaan kepada swasta

ANTHONY Loke dalam sidang akhbar selepas hadir ke majlis perasmian pameran hartanah Perbadanan Aset Keretapi (RAC) 2023 di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan tiada pertukaran hak milik tanah termasuk menggunakan kaedah tukaran tanah (land swap) kepada pihak swasta, ketika kerajaan menawarkan mereka untuk membangunkan tanah secara komersial.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, terdapat banyak lagi kaedah yang lebih menguntungkan kerajaan seperti menyewakan tanah pada tempoh munasabah yang boleh memberi keuntungan kepada pemaju dan kerajaan.

Katanya, jika ada rancangan untuk melakukan tukaran tanah kerajaan, ia bagaimanapun tertakluk dengan keputusan di peringkat Jemaah Menteri.

“Tukaran tanah ini mestilah melalui Kabinet. Tanah-tanah ini apabila dibangunkan, ada yang kerajaan sewa dan ada yang kita bangunkan untuk dijual. Jika, dijual kepada pembeli dan pulangannya haruslah kepada kerajaan. Sudah tentu saham kepada kerajaan itu mesti diterjaminkan.

“Selain itu, ada juga tanah-tanah yang kerajaan tidak jual, tetapi disewakan sahaja. Umpamanya di stesen Kuala Lumpur. Tanah itu tidak dijual, sebab itu stesen warisan yang kerajaan tidak akan jual sama sekali.

“Jadi, pihak swasta melabur kita beri dia satu tempoh sewa munasabah, supaya pihak swasta boleh melabur dan menjana keuntungan,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke majlis perasmian pameran hartanah Perbadanan Aset Keretapi (RAC) 2023 dan majlis menandatangani perjanjian bagi pembinaan stesen kereta api Segambut 2, antara RAC dengan pemain industri hartanah, IDP Industrial Development Sdn. Bhd.

RAC dan IDP Industrial Development dalam kenyataan bersama semalam berkata, stesen kereta api itu dijadual siap pada November 2025 selain diyakini memberi peluang kepada penghuni dan kawasan berhampiran memilih rel sebagai mod pengangkutan utama.

RAC turut menawarkan 10 tapak tanah kereta api yang berpotensi tinggi dengan keluasan keseluruhan berjumlah 369.452 ekar untuk dibangunkan, bernilai RM2.056 bilion dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar sekitar RM26.194 bilion.

Tawaran itu diberi sempena penganjuran Pameran Hartanah RAC 2023 dan telah berjaya mengumpul hampir 40 pemaju dan pemain industri hartanah terkemuka.

Katanya, kesemua tapak kereta api itu terletak di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perlis dan Kelantan dengan lima daripada 10 tapak itu berada di dalam jajaran kereta api yang tersedia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya