Anggota FRU dituduh merompak peniaga kedai runcit - Utusan Malaysia

Anggota FRU dituduh merompak peniaga kedai runcit

MOHD. Khuzairi Shaari (dua dari kiri) yang dituduh merompak seorang peniaga dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan rompakan ke atas seorang peniaga kedai runcit, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Khuzairi Shaari, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang berpangkat lans koperal didakwa merompak gelang tangan emas milik seorang peniaga kedai runcit pada 23 Ogos lalu.

Mohd. Khuzairi didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan di Kampung Tok Bintang, Kuala Berang dekat Hulu Terengganu antara pukul 9.45 sehingga 10.30 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (Akta 592) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Nabihah Hanim Ayim manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hayatuddin Muhammad.

Sejurus merekodkan pengakuan tidak bersalah daripada tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 2 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain mengenakan syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat setiap 1 hari bulan.

Tertuduh juga tidak dibenarkan menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding dijalankan sehingga kes selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya