ANALISIS: Zaman pemimpin veteran di Kedah sudah berlalu?

ANALISIS: Zaman pemimpin veteran di Kedah sudah berlalu?

SEBAHAGIAN penyokong PN mengangkat tangan bersorak ketika Perikatan Nasional (PN) mengumumkan kemenangan mereka pada PRN di Negeri Kedah di Kompleks Pas Kedah malam ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA pemimpin utama di Kedah yang sebelum ini memiliki nama di peringkat nasional kini dilihat berhempas pulas untuk kekal diterima dan mengetuai parti serta gabungan masing-masing setelah tewas pada pilihan raya negeri (PRN).

Antara nama besar dalam politik yang kecundang pada PRN Kedah yang berakhir kelmarin adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Mahdzir kalah dua kali berturut-turut dalam pilihan raya apabila tewas kepada penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, Mohd. Radzi Md. Amin daripada Perikatan Nasional (PN) dengan 6,373 majoriti.

Meskipun membawa imej sebagai bekas Menteri Besar Kedah, beliau tidak dapat menebus kekalahan di Parlimen Padang Terap pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Begitu juga Mahfuz yang sebelum ini kalah di kubu kuatnya iaitu Parlimen Pokok Sena pada pilihan raya itu, beliau sekali lagi terpaksa menerima hakikat dengan kekalahan kali kedua dalam tempoh tidak sampai setahun di DUN Alor Mengkudu pula.

Lawan beliau, Radhi Mat Din boleh dianggap pendatang baharu dalam dunia politik walaupun pernah bertanding pada PRU14 dan kalah kepada Mahfuz di Pokok Sena. Kali ini Mahfuz hanya meraih 8,832 undi berbanding Radhi yang mendapat 18,936 undi.

Maka, seakan satu isyarat kepada pemimpin-pemimpin lama di negeri ini untuk mereka memberi laluan kepada pelapis yang lebih muda dan sesuai dengan situasi semasa politik tanah air.

Bukan sahaja Mahdzir dan Mahfuz, Ketua Pembangkang DUN Kedah daripada PKR, Datuk Zamri Yusof (Suka Menanti) dan Pengerusi Parti Amanah Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh (Pengkalan Kundor) turut menerima kejutan di kerusi masing-masing.

Paling mengejutkan apabila Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew yang disebut-sebut berpeluang mempertahankan kerusi DUN Derga juga kalah kepada calon muka baharu PN, Muhamad Amri Wahab.

Strategi PN yang mempertaruhkan lebih ramai muka baharu yang ‘segar’ dan pelbagai pada PRN Kedah berjaya menarik sokongan pengundi, selain faktor Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sendiri yang amat berpengaruh di negeri itu.

Sewajarnya PH dan BN mempersiapkan pemimpin seterusnya untuk kembali bertarung di Kedah pada pilihan raya akan datang terutamanya BN yang kini tiada seorang pun wakil rakyat sama ada di Parlimen atau DUN.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya