PUTRAJAYA: Penghantaran semula dua anak panda gergasi Yi Yi dan Sheng Yi akan dilaksanakan pada 29 Ogos ini.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam kenyataan di sini berkata, penghantaran pulang anak panda gergasi itu adalah sebagai mematuhi Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara Malaysia dan Republik Rakyat China (RRC).
Katanya, pada 21 Mei 2014, kerajaan Malaysia dipinjamkan sepasang panda gergasi iaitu Xing Xing dan Liang Liang sempena sambutan ulang tahun ke-40 diplomatik antara Malaysia dan RRC bagi tempoh 10 tahun.
“Melalui hasil kejayaan konservasi ex-situ Malaysia, panda gergasi Liang Liang melahirkan tiga ekor anak betina iaitu Nuan Nuan, Yi Yi dan Sheng Yi.
“Anak pertama iaitu Nuan Nuan telah dihantar pulang ke RRC pada tahun 2017, manakala Yi Yi dan Sheng Yi akan dihantar pulang pada 29 Ogos ini,” kata kanyataan itu hari ini.
Nuan Nuan lahir pada 18 Ogos 2015, manakala Yi Yi pada 14 Jan 2018 dan Sheng Yi pada 31 Mei 2021.
Terdahulu, China Cultural Centre Kuala Lumpur (CCCKL) dengan kerjasama Zoo Negara menganjurkan Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelahiran ke-17 pasangan Xing Xing dan Liang Liang pada Rabu lalu.
Sambutan ulang tahun mereka dilihat cukup meriah dan mereka juga turut dihidangkan kek hari jadi yang diperbuat daripada buah-buahan seperti epal, tembikai dan anggur yang dihiasi dengan beberapa kuntum bunga. – UTUSAN