Anak imamkan solat jenazah Allahyarham Khairil Azwan, baca talkin  - Utusan Malaysia

Anak imamkan solat jenazah Allahyarham Khairil Azwan, baca talkin 

KHAIRUL HARISIN KHAIRIL AZWAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Khairul Harisin, 14, anak sulung kepada Allahyarham Khairil Azwan Jamaludin berasa puas dapat menunaikan niat untuk mengimamkan solat jenazah dan membaca talkin buat bapanya itu di Felda Mempaga 1, di sini hari ini.

Anak sulung daripada dua beradik itu walaupun cukup sedih dengan kehilangan orang tersayang berharap orang ramai mendoakan bapanya dimasukkan ke syurga dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Mempaga 1, Bentong hari ini yang dihadiri kira-kira 300 orang.

Menurut Khairul Harisin, dia dan adik, Khairul Ikhwan, 12, tinggal bersama bapa setelah bapa berpisah dengan ibunya, Sabrina Subanrio pada 2006.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menguruskan pengebumian arwah ayah dengan sempurna hari ini,” kata pelajar Sekolah Tahfiz Al-Furqan di Selangor itu di sini.

Sementara itu, Sabrina, 43, berkata, seminggu sebelum tragedi, Allahyarham membawa kedua-dua anak lelakinya membeli-belah dalam tempoh masa yang agak lama.

Ini kerana katanya, sebelum ini bekas suaminya yang sentiasa sibuk dengan tugas hanya mengambil masa singkat untuk bersama anak-anak.

“Walaupun kami berpisah, hubungan kami tidak putus terutama yang berkaitan dengan urusan pendidikan dan kebajikan anak-anak,” katanya.

Sabrina yang kini bertugas sebagai ketua jururawat di Hospital Selayang berkata, hasrat anak sulung untuk berkhidmat kali terakhir kepada bapanya ditunaikan Allah SWT.

“Anak sulung saya memang kuat. Saya tak sangka dia boleh kuat sampai ke tahap boleh imamkan solat jenazah arwah papa dan membacakan talkin.

“Kali pertama dia terima berita kematian mengejut arwah papanya, dia menangis meraung, saya pun memang tak dapat pujuk dia waktu itu, dia terlalu sedih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya