Amirudin sasar lima perkara utama dalam 100 hari - Utusan Malaysia

Amirudin sasar lima perkara utama dalam 100 hari

Lima perkara
AMIRUDIN Shari bergambar bersama barisan anggota MMKN selepas sidang akhbar khas di Bangunan SSAAS di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri meletakkan pelaksanaan lima perkara utama sebagai penanda aras untuk dicapai dalam tempoh 100 hari selepas pembentukannya bagi penggal ke-15, hari ini.

Lima perkara tersebut adalah bantuan RM1,000 kepada 5,000 wanita bekerja, pengecualian cukai pintu untuk rumah kampung dan kos rendah serta bantuan tunai dan baucar buku kepada mahasiswa di Selangor.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan menunaikan janji dalam ‘Lima Tekad tutu Lima Tahun’ yang dibentangkan sebelum pilihan raya negeri (PRN) lalu seperti menaikkan elaun imam, bilal, siak, dan nazir serta bantuan RM1,000 kepada 500 petani, pesawah dan nelayan di bawah Insentif Pertanian dan Perikanan Kita Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri memahami keinginan rakyat untuk menikmati ekonomi yang lebih adil, dan bermaruah supaya kualiti hidup dapat terus diperbaiki dan ditingkatkan.

“Penduduk di Selangor juga ingin rasa selamat untuk duduk di sini, bukan setakat keselamatan tetapi kepercayaan jika berdepan dengan kehilangan kerja atau masalah kesihatan, kerajaan yang bersifat penyayang mempunyai bantuan untuk memastikan mereka dapat bangkit semula dan meneruskan kehidupan.

“Saya berpegang kepada ikhtiar untuk menjadikan Selangor sebagai negeri yang paling berjaya, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di rantau ini. Berjaya bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi dengan peluang pekerjaan yang bergaji tinggi.

“Berjaya bukan sahaja dari segi sumbangan KDNK paling tinggi, tetapi menelusuri solusi kepada perubahan iklim, khususnya banjir. Berjaya bukan sahaja dengan membuka wilayah ekonomi baharu, tetapi juga menjadikan pentadbiran ini berpaksikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum mengumumkan senarai portfolio yang digalas beliau bersama 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

 

Exco baharu

Dalam sidang akhbar tersebut, Amirudin mengumumkan beliau sebagai Menteri Besar memegang portfolio berkaitan pembangunan tanah dan sumber alam, kewangan dan ekonomi, pemodenan pentadbiran, komunikasi strategik dan pendidikan.

Sementara 10 lagi anggota exco seperti Ng Sze Han menggantikan Datuk Teng Chang Kim sebelum ini dengan memegang portfolio berkaitan pelaburan, perdagangan dan mobiliti merangkumi perkhidmatan pengangkutan awam.

Sementara Izham Hashim pula kekal pada portfolionya seperti sebelum ini iaitu infrastruktur dan pertanian, bagaimanapun bagi Borhan Aman Shah bidang tugasnya terdahulu berkaitan kebudayaan kini ditambah peranannya bagi mengendali perumahan dan pembangunan bandar lestari.

Ng Suee Lim yang sebelum ini menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) kini memegang portfolio kerajaan tempatan dan pelancongan, peranan tersebut pada penggal lalu dipegang oleh Sze Han dan Hee Loy Sian (pelancongan).

Selain Suee Lim, enam exco baharu seperti Mohd. Najwan Halimi, Papparaidu Veraman, Dr. Mohammad Fahmi Ngah masing-masing memegang portfolio berkaitan belia, sukan dan keusahawanan; sumber manusia dan pembasmian kemiskinan serta agama islam dan pembudayaan inovasi.

Sementara dua exco wanita, Jamaliah Jamaluddin dan Anfaa Saari masing-masing diberi tanggungjawab untuk memegang portfolio kesihatan awam dan alam sekitar serta pembangunan wanita dan kebajikan masyarakat.

Satu-satunya wakil Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan negeri adalah, Datuk Rizam Ismail yang memegang portfolio kemajuan desa dan perpaduan nasional.

Dalam pada itu, Amirudin dalam ucapannya berharap barisan exco yang baru dilantik dan diagihkan portfolio itu dapat berdepan dengan masa hadapan yang mungkin tidak menentu.

“Saya selaku Menteri Besar anda, bersama dengan barisan Kita Selangor di belakang saya, tentunya akan memberikan yang terbaik, agar anda dan saya dan kita semua sebagai penduduk negeri ini, dapat bersama-sama terus mempertahankan prinsip dan nilai yang membina, serta memelihara kerencaman dan kepelbagaian negeri ini yang sebenarnya menjadi tonggak kekuatan kita bersama,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya