SHAH ALAM: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor , Datuk Seri Amirudin Shari menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini, petang ini.
Beliau yang juga Menteri Besar sementara (caretaker) tiba dengan menaiki kenderaannya pukul 2.34 petang.
Pengamal media mula memenuhi pekarangan luar istana seawal pukul 2 petang dan menunggu perkembangan lanjut hasil pertemuan tersebut.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Besar Selangor dijangka mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Alam Shah pada Sabtu ini dan Amirudin dicadangkan untuk kekal mengetuai kerajaan negeri bagi penggal ke-15.
Menurut sumber, pada peringkat awal tarikh dicadangkan kepada istana adalah hari ini (Khamis), namun ditunda memandangkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah baru selamat tiba dari London, United Kingdom (UK).
Kedudukan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar perlu dikekalkan bagi meneruskan agenda membangunkan negeri.
Langkah itu wajar berdasarkan pengalaman beliau dalam kepimpinan pentadbiran terutama untuk berdepan perubahan komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan bilangan pembangkang yang lebih ramai iaitu 22 kerusi. – UTUSAN