KLANG: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengangkat sumpah kali kedua sebagai Menteri Besar Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, hari ini selepas partinya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Amirudin, 43, mengangkat sumpah jawatan dan Ikrar Aku Janji di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan seterusnya menandatangani Surat Cara pelantikan dan akuan sumpah pada istiadat tersebut yang berlangsung bermula pada pukul 11 pagi.
Sumpah Jawatan Menteri Besar dan Ikrar Aku Janji itu kemudian ditandatangani beliau bersama Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab sebagai saksi.
Istiadat angkat sumpah itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Antara Aku Janji itu ialah memelihara dan menjunjung tinggi Rukun Negara, memelihara dan memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama lain, memelihara institusi raja daripada dicemari, memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain serta melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan bertanggungjawab, selain memastikan kemakmuran negeri ini di tahap tertinggi.
Beliau juga melafazkan bersedia hukuman Allah SWT serta daulat Sultan Selangor jika melanggar sumpah sebagai Menteri Besar.
Selain jawatan Menteri Besar, Amirudin juga mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai ahli ex-officio Dewan Diraja Selangor.
Pada 12 Ogos lalu, Amirudin memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Sungai Tua yang ditandinginya dengan majoriti 5,185 undi dalam saingan tiga penjuru menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Hanif Jamaluddin dan Bebas, Suman Gopal.
Amirudin mewakili kerusi tersebut bagi penggal keempat berturut-turut sejak memenanginya pada 2008 dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) yang ketika itu dikenali sebagai Batu Caves sebelum persempadanan semula dilakukan pada 2018.
Kali pertama beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar adalah pada 19 Jun tahun itu apabila penyandangnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik menjadi anggota kabinet Kerajaan Persekutuan.
Sebelum itu, beliau pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan negeri termasuk dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Belia, Usahawan, Sukan dan Budaya. – UTUSAN