KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen sebentar tadi membenarkan permohonan pelakon, Amelia Henderson untuk menangguhkan permohonan maafnya terhadap syarikat produksi, A. Aida Production kerana melanggar kontrak lakonan.
Hakim Zulqarnain Hassan ketika membaca penghakiman ringkasnya menyatakan, mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan permohonan tersebut kerana terdapat rayuan ke peringkat lebih tinggi.
“Mahkamah gunakan budi bicara dan benarkan permohonan penggantungan perintah yang menghendaki permohonan maaf secara terbuka dan yang menghendaki penghapusan video daripada akaun Instagram Defendan Pertama (Amelia),” kata hakim itu pada prosiding yang dijalankan secara Zoom.
Berhubung pembayaran ganti rugi, Mahkamah turut membenarkan penangguhan bayaran melebihi RM200,000 itu.
Namun mahkamah memerintahkan agar wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun bersama yang akan dikendalikan oleh kedua-dua firma guaman yang mewakili syarikat produksi itu dan Amelia.
Pada 7 April lalu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28, membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A. Aida Production Sdn. Bhd. selepas didapati melanggar kontrak lakonan dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.
Mahkamah turut memerintahkan Amelia untuk memohon maaf dan memadam video di Instagram mengandungi kenyataan fitnah terhadap syarikat itu.
Pada 18 April lalu, pelakon terbabit telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut. – UTUSAN