Amalan tidak beretika pihak ketiga jejas penjagaan kesihatan - MMA 

Amalan tidak beretika pihak ketiga jejas penjagaan kesihatan – MMA 

DR. R. MURUGA RAJ 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengambil tindakan segera dan menghentikan amalan komersial yang didakwa tidak beretika oleh lebih 30 Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) yang berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan. 

TPA adalah orang tengah berperanan menguruskan faedah perubatan pekerja untuk majikan, namun, sebahagian mereka didakwa mengenakan bayaran pendaftaran sehingga RM5,000 di klinik pengamal perubatan (GP) swasta hanya untuk dilantik sebagai klinik panel. 

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr. R. Muruga Raj berkata, pihak pentadbir ketiga itu didakwa memperoleh hasil melalui amalan pembahagian yuran dengan mengurangkan yuran perundingan GP atau menuntut sebahagian daripada yuran itu melalui potongan. 

Sedangkan, kata beliau, amalan pembahagian bayaran adalah haram, namun sesetengah TPA juga mengambil potongan sehingga 15 peratus daripada jumlah bil yang berpotensi menjejaskan penjagaan pesakit. 

“Selain itu, apa yang membimbangkan adalah ketiadaan pemantauan amalan TPA dalam penyumberluaran preskripsi ubat jangka panjang (LTM) kepada ahli farmasi melalui e-preskripsi. 

“Amalan ini menimbulkan risiko kepada kesihatan pesakit yang mengambil ubat jangka panjang dan tidak selaras dengan pendekatan holistik dalam penjagaan  pengurusan kes kronik terutama penyakit tidak berjangkit (NCD) untuk mencapai hasil yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Selain itu, Muruga Raj mendakwa, beberapa TPA yang mempunyai reputasi terkenal didapati menangguhkan bayaran tuntutan sehingga menyebabkan banyak klinik panel bergelut dari segi kewangan. 

Katanya, MMA telah membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat yang dianjurkan oleh Nexus Produktiviti Penjagaan Kesihatan Swasta di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia. 

“Amat mengecewakan kerana Kementerian Kesihatan enggan campur tangan dalam hal ini, Bank Negara Malaysia (BNM) juga enggan terlibat,” katanya. 

Selain itu, kata beliau, pihaknya telah mengetengahkan isu penyelewengan itu kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan mereka memberi jaminan bahawa tindakan akan diambil apabila menerima aduan bertulis. 

“Malangnya, tiada perubahan dalam amalan TPA sejak 2015, dan ia kekal tidak dikawal. Amaran awal MMA mengenai isu dan penyelewengan yang berpotensi sejak 1998 tidak diendahkan. 

“Selama bertahun-tahun, amalan TPA tidak terkawal dan kini terdapat pengkomersialan penjagaan kesihatan yang berlaku di hadapan kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya