IPOH: Pertubuhan Alumni 4B Malaysia menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO.
Presidennya, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad Al-Husaini berkata, ketetapan itu dibuat kerana tidak mahu wujudnya suasana kucar-kacir di dalam parti berikutan desakan pelbagai pihak untuk Ahmad Zahid berundur.
Katanya, Presiden UMNO itu juga tidak sewajarnya menjadi satu-satunya pihak yang perlu dipersalahkan atas prestasi buruk parti berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
“Kita tidak boleh menyalahkan Presiden sahaja kerana di setiap organisasi ada Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Wanita, Pemuda dan Puteri.
“Jadi, semua perlu bertanggungjawab bersama-sama Presiden UMNO, kita tidak boleh menunding jari kepada dia (Ahmad Zahid) seorang sahaja,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Perhimpunan Agung Alumni 4B yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di sini semalam.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung Pertubuhan Alumni 4B Malaysia, Datuk Wira Jamaludin Abdul Rahim dan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya juga berasa kesal dan tidak bersetuju dengan tindakan segelintir pemimpin UMNO yang mengkritik secara terbuka kepimpinan presiden parti.
Katanya, sebarang pandangan mahupun kritikan terhadap pemimpin parti seharusnya dibawa dalam perbincangan terutama di peringkat MKT.
“Sepatutnya bawalah berbincang, tidak perlu tunjuk hero bercakap sana sini tentang presiden. Mereka boleh bercakap semasa mesyuarat MKT, beri pandangan ketika itu.
“Sebagai Alumni 4B, kami tidak bersetuju dengan cara (desakan) terhadap presiden,” katanya.
Tambah beliau, bagi menzahirkan sokongan terhadap institusi presiden, satu resolusi akan dibentang pada perhimpunan agung esok (hari ini) untuk diluluskan oleh perwakilan.
Sementara itu, Saarani dalam ucapannya melahirkan harapan agar Alumni 4B dapat terus membantu mempergiatkan lagi usaha memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman bersama Gerakan Belia 4B di seluruh negara dalam mengukuhkan lagi semangat berpersatuan dan berpasukan.
Katanya, kesinambungan itu sangat penting supaya generasi muda Gerakan Belia 4B baik di cawangan, kawasan dan negeri lebih terarah dan dapat dipandu dengan lebih berkesan.
“Sepantas mana pun zaman beredar, saya selalu mengharapkan entiti orang muda seperti Gerakan Belia 4B ini akan terus teguh sebagai pemangkin anak muda.
“Di sinilah Alumni 4B boleh memainkan peranannya dengan berkesan, meneladani dan membimbing belia melalui pengalaman yang ada,” katanya. – UTUSAN