GOMBAK: Jenazah Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, seorang daripada 10 individu yang maut dalam nahas pesawat terhempas berdekatan kawasan perumahan Elmina, Shah Alam, Khamis lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, di sini, hari ini.
Jenazah Allahyarham disemadikan kira-kira pukul 12 tengah hari selepas selesai solat jenazah di Masjid Jamek Ar-Rahimiah dan Masjid Saidina Hamzah bagi solat jenazah kali kedua.
Dianggarkan lebih 500 orang hadir ke majlis perkebumian Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai.
Yang hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dalam kejadian Khamis lalu, pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi, pada pukul 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan pada pukul 2.40 petang.
Selain dua juruterbang pesawat dan lima lagi penumpang, dua lagi yang terbunuh ialah seorang penunggang motosikal serta pemandu kereta yang ketika kejadian melalui kawasan terbabit. – UTUSAN