Akaun FB digodam bukan gimik - Utusan Malaysia

Akaun FB digodam bukan gimik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ratu Rock, Ella menjelaskan akaun Facebook rasminya yang digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab bukan gimik sempena penganjuran konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang, 28 Oktober depan.

Sebaliknya, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 57, berkata, insiden tersebut benar-benar berlaku sehingga pihak pengurusannya bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh dan IPD Shah Alam.

“Kena godam itu bukannya kita rancang. Kita pun sudah berusaha menghubungi banyak kali dan dapatkan semula akaun tersebut. Kita sudah buat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Semuanya masih dalam siasatan. Kita tak muat naik laporan polis dalam media sosial sahaja.

“Laporan polis itu mengenai usaha pihak tertentu yang bertindak memalukan Ella dengan memuat naik video tidak senonoh serta memburukkan imej Ella.

“Kita juga sudah buat aduan secara dalam talian kepada pihak Facebook dan masih menunggu jawapan daripada pihak mereka,” katanya semasa sidang akhbar mengenai konsert serta sambutan ulangtahun kelahiran Ella di Pavilion Elite, di sini, semalam.

Ditanya sama ada bercadang membuka akaun Facebook baharu, Ella berkata, buat masa ini dia belum berhasrat melakukan sedemikian kerana masih menaruh harapan terhadap akaun asalnya.

“Kalau boleh tak nak buang akaun itu sebab peminat setia Ella memang di sana. Facebook adalah platform terbaik hendak promosi konsert.

“Benda ini bukan main-main. Facebook itu penting untuk kita semua cari kerja dan makan. Saya kesal dengan apa yang berlaku,” luahnya.

Khamis lalu, akaun Facebook milik Ella digodam dengan beberapa video paparan aksi kurang sopan artis antarabangsa dimuat naik.

Antaranya termasuk aksi jelik penyanyi, Robbie William mencium punggung seorang wanita dalam sebuah konsert.

Perkongsian terakhir yang dimuat naik oleh penyanyi Retak berkaitan kerjayanya adalah pada 6 Julai 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN