KUALA LUMPUR: Akademi Salihin menyasarkan untuk melatih seramai 60 penuntut setiap tahun yang akan menyertai program-program pensijilan profesional.
Pensijilan ini merangkumi bidang kelulusan di bawah Accounting and Auditing Organisation For Islamic Financial Institutions (AAOIFI), General Council for Islamic Banks and Financial Institutions (CIBAFI ) serta The International Islamic Centre for Reconciliation and Arbitration (IICRA).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, akademi ini akan memberi penyelesaian pendidikan dan latihan bagi pembangunan profesional dalam bidang kewangan dan perbankan Islam, pengurusan perniagaan, automasi digital, analitik serta penyelesaian perakaunan.
“Ini adalah perancangan permulaan yang amat baik dan saya percaya jika dilaksanakan dengan teliti, ia boleh membuka ruang untuk kejayaan yang lebih besar, mungkin dengan jalinan kerjasama dengan universiti-universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi tempatan.
“Kumpulan Salihin menceburi bidang latihan ini jelas terserlah dengan termeterainya Perjanjian Program Rakan Kongsi antara Salihin dengan firma digital antarabangsa, Diligent Corporation yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
“Ia akan membuka peluang baharu pertumbuhan serta inovasi, sekaligus meletakkan Salihin sebagai firma kewangan yang membawa permodenan dan perubahan paradigma di dalam bidang perakaunan, pengauditan dan perundingan korporat melalui pendigitalan dan automasi robotik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Pusat Korporat Salihin Dan Salihin Academy di pejabatnya di sini hari ini.
Fadillah Yusof, sejak penubuhannya pada awal tahun 2002 dengan bermodalkan RM10,000, dengan hanya seorang kakitangan, kini firma Salihin menjana perolehan sebanyak RM25 juta setahun dengan tenaga kerja 250 orang professional bertauliah dan pakar dalam pelbagai disiplin.
“Kumpulan Salihin, bukan sahaja mengukir nama di ibu kota, tetapi juga mempunyai cawangan di Kuching, Johor Bahru dan Gombak. Malah, di Nairobi, Kenya pun mereka membuka sebuah cawangan sebagai langkah permulaan melebarkan sayap di peringkat antarabangsa.
“Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar pada masa kini dan mengambil kira ketidaktentuan pasaran dunia yang masih melalui proses pemulihan pasca pandemik, kita boleh berbangga apabila ada firma swasta bumiputera yang berdaya tahan, kalis kegawatan serta bersifat inovatif lagi kreatif dalam memburu peluang-peluang perniagaan.
“Dedikasi teguh firma Salihin untuk menegakkan integriti, ketelusan dan profesionalisme dalam penyampaian perkhidmatannya selama 21 tahun ini adalah resipi kejayaan yang membina keyakinan para pelanggan dan rakan-rakan berkepentingan termasuk pihak berkuasa undang-undang, agensi pelaksana serta pesaing industri.
“Saya meletakkan harapan tinggi agar firma Salihin tidak sekadar berpuas hati dengan kejayaan setakat ini sahaja, tetapi terus meneroka peluang-peluang yang lebih besar melalui penyumberan pakar tempatan berprestasi tinggi di persada antarabangsa,” katanya. -UTUSAN