Ahmad Zahid dahulukan kad kredit untuk urusan kebajikan

Ahmad Zahid dahulukan kad kredit untuk urusan kebajikan

AHMAD Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram Yayasan Akalbudi. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, kad kredit peribadi Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi digunakan bagi mendahulukan pembelian peralatan untuk aktiviti kebajikan termasuk sumbangan kepada masjid.

Datuk Rosiah Osman, 71, yang ketika itu Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid berkata, peralatan itu termasuk kipas, pendingin hawa dan permaidani yang merupakan sebahagian daripada aktiviti kebajikan Yayasan Akalbudi.

Menurutnya, beliau meneliti penyata kad kredit dan resit pembelian atas nama Ahmad Zahid yang diterimanya setiap bulan dan mengenal pasti sama ada pembelian itu atas tujuan peribadi atau untuk sumbangan.

Ujar saksi pembelaan ketujuh itu, wang Yayasan Akalbudi kemudian dikeluarkan bagi membayar balik pembelian berkenaan ke dalam kad kredit Presiden UMNO tersebut.

Ketika ditanya oleh peguam Hamidi Mohd. Noh pada sesi pemeriksaan utama, Rosiah berkata, beliau selanjutnya menyediakan cek untuk ditandatangani oleh Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Hamidi: Kalau urusan peribadi, guna cek mana?
Rosiah: Cek Maybank.

Hamidi: Untuk tujuan Yayasan Akalbudi, guna cek mana?
Rosiah: Cek Affin Bank.

Saksi turut menyatakan, Yayasan Akalbudi tidak mempunyai kad kredit untuk kegunaan pembayaran. Pada prosiding sebelah pagi, mahkamah turut mendengar keterangan saksi pembelaan keenam, Datuk Mohd. Kamal Abdullah yang juga Pegawai Khas Ahmad Zahid.

Mohd. Kamal, 66, berkata, bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly (yang menggantikan Rosiah bermula 2011) lalai mengeluarkan cek, tidak memperdulikan arahan pegawai atasan atau enggan mendengar nasihat apabila kesalahannya diperbetulkan.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar pada sesi pemeriksaan balas, Mohd. Kamal menjelaskan, Mazlina pernah menulis amaun yang salah pada cek termasuk cek Yayasan Akalbudi.

Menurut Mohd. Kamal, Ahmad Zahid pernah memberitahunya bahawa Mazlina telah menggunakan cek-cek Yayasan Akalbudi untuk membayar bil kad kredit peribadi beliau dan isterinya menggunakan cop tandatangan Timbalan Perdana Menteri.

“Mazlina sepatutnya menggunakan cek peribadi Ahmad Zahid untuk membayar bil-bil kad kredit dan bukan menggunakan cek Yayasan Akalbudi,” ujar beliau dalam pernyataan saksi.

Menurut Mohd. Kamal, Ahmad Zahid tidak pernah sama sekali memberi arahan atau membenarkan Mazlina menggunakan cop tandatangan milik beliau untuk menandatangani cek Yayasan Akalbudi atau cek peribadi.

Ujar saksi, sebaliknya cop tandatangan tersebut hanya boleh digunakan untuk kad-kad perayaan dan sijil-sijil penghargaan. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung esok.

Ahmad Zahid, 70, dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016. Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan. Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya