KEMAMAN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said digesa supaya berundur selepas kesemua 32 calon Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, sebagai pemimpin yang berkaliber, Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu perlu bertanggungjawab dengan kekalahan itu.
“Sudah tiba masanya untuk beliau (Ahmad) untuk berundur dan memberi peluang kepada muka baharu untuk menerajui parti supaya ada idea-idea baharu yang dapat menguatkan lagi parti.
“BN negeri perlu dibuat rombakan dan dilakukan ‘rebranding’ dan ‘reengineering’ kerana BN dan UMNO Terengganu sangat lemah ketika ini,” katanya di sini, hari ini.
Wan Ahmad Nizam berkata, Ahmad juga terlalu lama menerajui UMNO Kemaman sejak 23 tahun lalu.
“Di Kemaman sendiri, Ahmad menjadi Ketua UMNO Bahagian sejak tahun 2000, dah lima kali berlaku pertukaran ketua pemuda, namun Ketua Bahagian tetap individu sama,” katanya.
Dalam PRN itu, Ahmad yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal juga gagal mempertahankan kerusi yang disandangnya selama sembilan penggal.
Mengenai kemenangan Pas di 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Wan Ahmad Nizam berkata, Pas telah berjaya mendapat apa yang mereka impikan, justeru pasti itu perlu mengotakan janji mereka untuk rakyat.
“Sekarang masanya untuk Pas laksanakan hukum hudud seperti yang mereka perjuangkan sebelum ini.
“Keadaan negeri yang tiada pembangkang sebenarnya tidak bagus untuk pembangunan negeri kerana Pas bebas melakukan apa sahaja dan tiada ‘check and balance’ dalam pentadbiran kerajaan negeri, akhirnya ia akan merugikan rakyat,” katanya. – UTUSAN