Agong seru pemimpin, rakyat contohi Tun Dr. Ismail

Agong seru pemimpin, rakyat contohi Tun Dr. Ismail

AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, AI-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat khususnya para pemimpin menghayati dan meneladani ketokohan dan jasa negarawan, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dalam membangunkan negara.

Ini kerana, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd. Ariffin menjelaskan, baginda menyifatkan Allahyarham sebagai negarawan yang tiada galang ganti.

Katanya, Seri Paduka Baginda juga menyifatkan Allahyarham sebagai antara tokoh dan figura utama perpaduan negara yang telah memainkan peranan yang amat penting dalam mengukuhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama terutamanya pasca rusuhan dan pasca perbalahan kaum pada 1969.

“Seri Paduka Baginda bertitah, Allahyarham sepanjang perkhidmatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan anggota Jemaah Kabinet Negara juga telah mempamerkan sifat-sifat insan unggul yang berhemah tinggi, berintegriti dan sentiasa bersedia untuk menyumbang demi negara.

“Justeru, Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi harapan agar jasa dan pengorbanan Allahyarham bukan sahaja menjadi sumber inspirasi dan teladan kepada seluruh rakyat Malaysia malah wajib dicontohi oleh para pemimpin masyarakat dan politik demi kemakmuran dan kesejahteraan negara yang tercinta,” katanya dalam kenyataan.

Seri Paduka Baginda turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan para solihin.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita dan menyambut baik inisiatif kerajaan mengadakan Hari Memperingati Negarawan bagi memperingati jasa dan bakti Allahyarham sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

“Seri Paduka Baginda turut bertitah, selain memperingati jasa dan memberi penghormatan, inisiatif tersebut juga dapat memupuk dan menaikkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda, agar kita tidak lupa dan mempersia-siakan pengorbanan negarawan seperti Allahyarham Tun Dr. Ismail.

“Bersempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, Seri Paduka Baginda turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar Malaysia terus dilimpahi kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang berkekalan serta dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya