KUCHING: Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijangka memulakan jelajah Kembara Kenali Borneo Sarawak di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo pada 3 September ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program yang melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer tersebut akan merentasi Lebuhraya Pan Borneo bermula dari Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak.
“Seri Paduka berdua berhasrat merasai sendiri pengalaman memandu merentasi Lebuhraya Pan Borneo.
“Program yang akan diselitkan turut bertemakan ‘Journey of Culture and Nature’ itu akan membuka peluang kepada kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak, khasnya kerajaan negeri bagi memaparkan keunikan budaya dan etnik dengan lebih dekat kepada Seri Paduka berdua,” katanya dalam sidang akhbar sempena Program Kembara Kenali Borneo di sini hari ini.
Tambah Abdul Karim, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong berkenan memulakan Jelajah Kembara Kenali Borneo bermula dari Tawau, Sabah pada 3 September dan berakhir di Teluk Melano, Sarawak pada 13 September ini.
“Secara rasmi rombongan Seri Paduka akan tiba di Sarawak pada 7 September dari Sabah melalui jalan darat di pintu masuk ICQ Merapok Lawas dan rombongan akan terus ke Bandar Lawas menuju ke Tebingan Lawas sebelum meneruskan perjalanan ke Brunei .
“Seri Paduka dan rombongan akan berada di Brunei selama 3 hari (pada 7-9 September). Pada 9 September, konvoi diraja itu dijangka tiba di Miri bagi meneruskan kembara dan bergerak melalui bandar-bandar di laluan utama Lebuhraya Pan Borneo Sarawak melibatkan Bahagian Limbang, Miri, Bintulu, Sibu, Sri Aman dan berakhir di Kuching,” katanya.
Antara lokasi yang akan dilawati di Sarawak termasuk Tebingan Lawas, Miri Handicraft Centre, Coco Cabana Miri, Kampung Pangkalan Lutong, Pantai Bungai Bekenu, Kampung Penan Muslim Batu 10, Rumah Panjang Raymond Plen, Sungai Gelam, Sebauh, Tokong Yu Lung Tian En Si Sibu, Kampung Bandung Sibu, Pasar Central Sibu, Masjid Bahagian Sri Aman, Fort Alice Sri Aman dan Zero KM Lebuh Raya Pan Borneo, Telok Melano.
“Di setiap lokasi yang dilawati, Kerajaan Sarawak telah menyediakan pelbagai program menarik, antaranya aktiviti bersama rakyat, pameran dan demonstrasi kraftangan, aktiviti kebudayaan dan aktviti memasak. Selama enam hari rombongan akan berpeluang mengenali dan menyelami adat, budaya, warisan rakyat berbilang kaum di Sarawak.
“Rombongan juga akan menikmati pelbagai jenis juadah dan makanan tempatan Sarawak yang begitu unik dan paling penting berpeluang beramah mesra dengan rakyat di Sarawak ini sejajar dengan matlamat utama kembara untuk mendampingi dan menyantuni rakyat Sarawak,” katanya. – UTUSAN