KOTA KINABALU: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal merasai sendiri pengalaman memandu di Sabah yang sebahagian jalan diibaratkan seperti ‘jalan menuju ke bulan’ pada bulan depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Seri Paduka akan mengadakan Jelajah Kembara Borneo bermula 3 September ini selama beberapa hari di sepanjang laluan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dari Tawau ke Kuching, Sarawak.
Beliau berkata, jalan yang akan dilalui oleh Seri Paduka adalah sama seperti laluan yang digunakan orang biasa.
“Kita difahamkan itulah tujuan utamanya, Agong tahu projek ini belum siap jadi, (jelajah itu) untuk lihat di mana-mana sepanjang jalan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dan Sarawak.
“Di Sarawak boleh dikatakan siap 97 peratus cuma di Sabah bermula agak lewat iaitu pada 2016, Sarawak bermula pada 2015. Jadi, banyak lagi isu-isu yang memberi kesan kepada kelewatan pelaksanaan pakej-pakej di Sabah,” katanya selepas lawatan tapak Lebuhraya Pan Borneo pakej kerja empat di Papar hari ini.
Menurut beliau, pembinaan pakej empat ini tidak sempat disiapkan sempena lawatan Agong kerana projek ini hanya akan siap pada Ogos 2024.
Alexander berkata, banyak tinjauan dilakukan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan apabila Yang diPertua Agong melalui jalan tersebut.
“Saya difahamkan kerja-kerja yang perlu dibuat sedang dilakukan dan kos perbelanjaan itu akan dibantu oleh kementeriannya,” katanya.
Mengenai perkembangan LPB, Alexander berkata, secara keseluruhan sebanyak 35 pakej akan dilaksanakan di Sabah dan 15 pakej sedang berjalan, ada yang telah siap dan ada yang sedang dalam pelaksanaan.
Daripada 35 pakej itu, 19 pakej belum dilantik kontraktor dan beliau telah arahkan agar lantikan syarikat kontraktor dibuat pada penghujung tahun.
Katanya, kerja-kerja pembinaan mungkin diadakan secara serentak pada tahun hadapan.
Beliau tidak menolak kemungkinan kelewatan pelaksanaan projek LPB di Sabah susulan kekurangan bahan mentah seperti bitumen yang agak terhad.
Malah, beliau akan berbincang dengan pihak Shell dan Petronas bagi membekalkan bahan berkenaan.
Mengulas lanjut katanya, daripada RM6.503 bilion peruntukan pembangunan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan, sejumlah RM2.23 bilion atau 31 peratus diperuntukkan bagi pelaksanaan LPB di Sabah.
Hadir sama adalah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya. – UTUSAN