AGC tunggu siasatan SPRM sebelum putuskan representasi Zahid

AGC tunggu siasatan SPRM sebelum putuskan representasi Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram Yayasan Akalbudi. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, representasi Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi masih belum diputuskan kerana Jabatan Peguam Negara (AGC) masih menunggu hasil siasatan lanjut berhubung fakta dan bukti baharu yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar memaklumkan, siasatan masih dijalankan oleh pasukan petugas khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihaknya menunggu maklum balas sebelum memutuskan representasi berkenaan.

Pada 10 April lalu, mahkamah diberitahu, Timbalan Perdana Menteri itu telah mengemukakan representasi kepada AGC mengandungi fakta dan bukti baharu dalam usaha menggugurkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini di peringkat pembelaan.

“Tiada keputusan representasi pada peringkat ini kerana pihak kami masih menunggu hasil siasatan pasukan petugas khas,” ujarnya ketika memaklumkan perkembangan representasi berkenaan.

Sehubungan itu, perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung dengan mendengar keterangan saksi pembelaan keenam, Datuk Mohd. Kamal Abdullah, 65, yang juga Pegawai khas Ahmad Zahid.

Timbalan Perdana Menteri mengemukakan representasi melebihi 200 muka surat mengandungi isu kompleks yang dihantar terus kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sebagai asas untuk pertimbangan agar pertuduhan yang dihadapinya, digugurkan.

Dokumen mengandungi beberapa peringkat itu pertama kali dihantar kepada AGC pada Januari lalu dan selanjutnya pada akhir Februari lalu.

Representasi itu turut disertai surat bertarikh 20 Februari lalu daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang memaklumkan agensi itu melakukan siasatan lanjut terhadap fakta dan bukti baharu yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Ahmad Zahid, 70, dibicarakan atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd..

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya