PETALING JAYA: Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun digesa menyiasat kesahihan dokumen mengenai enam pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh berkata, pihaknya mengambil serius tentang perkara ini memandangkan dakwaan pendedahan-pendedahan yang dicatatkan dalam dokumen tersebut mengandungi rumusan keterangan terperinci yang jelas memberi kesan kepada kes pertuduhan terhadap Najib yang masih berjalan di mahkamah.
“Oleh itu, Pemuda UMNO mendesak Peguam Negara untuk menyiasat kesahihan dokumen tersebut serta isi kandungannya. Sekiranya sahih dokumen yang tular tersebut adalah benar, Jabatan Peguam Negara haruslah mengambil tindakan sewajarnya dengan menarik balik enam pertuduhan yang dikenakan selaras dengan rekomendasi dalam dokumen tersebut.
“Seandainya juga isi kandungan dokumen tersebut adalah sahih, Pemuda UMNO mendesak satu siasatan dibuat bagi menyiasat sama ada wujud salah guna kuasa dan kedudukan oleh individu tertentu yang bertentangan dengan undang-undang bagi memastikan kes pertuduhan diteruskan terhadap Najib,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Dr. Akmal, elemen pendakwaan politik seperti ini untuk memberi imej negatif sehingga mendatangkan kerugian tidak wajar berlaku.
Katanya, negara juga mengalami kerugian dengan hanya memperoleh semula AS$1.8 bilion berbanding rundingan yang dipersetujui sebanyak AS$7 bilion antara pentadbiran Najib dengan pihak syarikat pelaburan petroleum antarabangsa (IPIC).
“Pemuda UMNO sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang. Undang-undang sedia ada di Malaysia ini bertujuan memastikan kebenaran dan keadilan sentiasa ditegakkan.
“Pemuda UMNO tidak akan bertolak ansur dan akan menentang tegas mana-mana cubaan daripada mana-mana pihak yang ingin menyalahgunakan undang-undang bagi kepentingan peribadi,” katanya.
Sebuah dokumen yang didakwa ‘Memo Dalaman’ Jabatan Peguam Negara oleh pasukan pendakwaan IPIC setebal 12 muka surat bertarikh 10 September 2019 menyentuh berkenaan dengan enam pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib dan Mohd. Irwan.
Isi kandungan dokumen yang tular tersebut berbentuk rekomendasi dari pasukan pendakwaan IPIC yang sebulat suara mengambil pendirian bahawa enam pertuduhan tersebut tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah bagi mendapatkan kes prima facie.
Dokumen yang tular tersebut didakwa ditujukan kepada Tan Sri Tommy Thomas selaku Peguam Negara ketika itu. – UTUSAN