PUTRAJAYA: Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menimbulkan persoalan adakah sudah tiba masanya UMNO bertanding atas tiket UMNO pada pilihan raya akan datang.
Beliau turut bertanya, adakah parti itu pada masa akan datang masih lagi bertanding di bawah di bawah bendera Barisan Nasional (BN) atau pun di bawah BN dengan gabungan baharu?
Dalam satu hantaran Facebooknya, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, beliau membaca dengan teliti semua pandangan-pandangan serta teguran-teguran yang dilontarkan semua pihak termasuk mereka di luar parti selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Beliau berkata, perkara itu adalah amalan demokrasi dalam parti di mana setiap ahli boleh memberikan pandangan, tetapi dalam konsep demokrasi juga, ada calon kalah dan ada yang menang dalam pilihan raya.
“Memang mudah untuk menuding jari terutama apabila kita kalah. Dalam pilihan raya, kalah satu undi tetap kalah. Menang satu undi, tetap menang. Mungkin kita boleh beri contoh, jika kita kalah ketika bertanding untuk jawatan Yang Dipertua PIBG, usahlah kita bakar dan runtuhkan sekolah.
“Ada parti politik bermula di tangga mahkamah, dan ada yang masih di tangga mahkamah, malah bertahun bergolak dengan pihak keselamatan, namun ahlinya tetap teguh merapatkan saf serta berterusan meletakkan keyakinan terhadap pemimpin mereka.
“Dan hari ini parti-parti berkenaan telah berjaya memerintah negara selepas PRU14. Mereka yakin kepimpinan parti akan bawa kejayaan,” katanya hari ini.
Azalina berkata, memang mudah untuk mendesak Pengerusi BN mengundur tetapi BN adalah satu institusi dan kenapa segalanya diletakkan di bahu Pengerusi walhal, bukan Pengerusi yang bertanding pada PRN lalu.
Paling penting sebenarnya, kata beliau, dalam mana-mana pilihan raya, formula kemenangan ambil kira faktor calon, pengundi serta cabaran, maka apa yang perlu ubah bukan Presiden, tetapi cara bagaimana bekerja dan menggerakkan kempen.
Beliau turut mengakui UMNO-BN masih ketinggalan dalam peperangan saraf di platform digital apabila pendekatan konvensional bersemuka tidak lagi menjadi tunjang utama kempen hingga ada ceramah fizikal tidak mendapat sambutan.
“BN sendiri perlu faham dan akur bahawa kita menghadapi defisit pengetahuan dan penguasaan platform digital pada ketika pihak lawan berbelanja tanpa had menggunakan platform-platform itu bagi mempengaruhi pengundi.
“Melangkah ke hadapan, BN perlu bersedia untuk berubah menjadi parti yang lebih mahir dan memiliki pengetahuan menguasai teknologi digital dan Kerajaan Perpaduan juga perlu bersedia dengan penguasaan perang saraf di platform digital,” katanya.
Azalina turut menegaskan, gabungan Kerajaan Perpaduan bukanlah satu kesatuan yang sempurna, namun ada ruang untuk pembaikan, namun ia dibina dengan mencari titik persamaan, iaitu demi agama, bangsa dan negara.
Sudah tentu, bagi UMNO sendiri, katanya, parti ini akan terus menjadi suara dalam Kerajaan Perpaduan selari dengan perjuangannya, iaitu melindungi agama Islam sebagai agama Persekutuan, hak-hak bumiputera, raja-raja Melayu dan bahasa Melayu.
“Ini termasuk menjadi suara kepada kedaulatan undang-undang dan segala kelemahan, kekurangan dan salah guna dalam pelaksanaan undang-undang dan proses keadilan dibangkitkan melalui saluran yang betul.
“Ini kerana kita perlu menghormati pengasingan kuasa yang terdiri daripada badan eksekutif, kehakiman dan perundangan,” katanya. – UTUSAN