PETALING JAYA: Isu kemajuan negeri Kelantan muncul sebagai antara isu paling hangat dalam Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia.
Isu itu dibangkitkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika meminta Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Sulaiman menghuraikan mengenai kaedah Pas menguruskan hutang jika diberi peluang mentadbir negara.
Soalnya, apakah beliau akan menggunakan kaedah kerajaan Kelantan dengan memohon kepada kerajaan persekutuan supaya hutang dimaafkan tanpa sebarang bayaran jika Pas diberikan amanah mengendalikan ekonomi negara.
Mohd. Syahir berkata, hutang secara asasnya wajib dibayar.
“Kita kena setuju tak ada hutang boleh dimansuh, jadi janji mansuhkan hutang PTPTN pun tak boleh kita percaya, hutang perlu dibayar.
“Tapi ini melibatkan hubungan negeri dan Pusat, ada masa tertentu mereka perlukan bantuan kewangan, ada masa tertentu sumber pendapatan kerajaan negeri tidak cukup pada bulan tersebut, jadi perlu soft loan. Kalau tengok akaun kerajaan, akan disenaraikan hutang kerajaan negeri, tapi bayaran royalti Kelantan ditangguh dan dinafikan, lima peratus tak ada, 20 peratus apatah lagi,” katanya.
Beliau juga berkata, seharusnya ada pertimbangan antara kerajaan Pusat dan negeri.
“Anak dengan ayah hubungan mungkin ada pertimbangan, mungkin boleh tangguhkan, biasalah kita kena bayar, kita boleh buat penstrukturan semula, bukan dengan ayah pun dengan bank pun boleh buat.
“Sebagai ayah kepada kerajaan negeri, perlu ada ruang untuk pertimbangan, tengok anak mungkin bulan itu dia putus duit, mungkin bulan depan baru ada duit yang penting kena bayar dan kita boleh bincang tempoh pembayaran,” katanya.
Namun, Rafizi tidak berpuas hati dengan jawapan Mohd. Syahir kerana menganggap beliau tidak menjawab soalan yang diajukan.
“Kecewa saya, dia langsung tak jawab soalan, saya tanya kalau Pas mentadbir kerajaan persekutuan, macam mana nak bayar hutang RM1.5 trilion. Tapi dia cerita anak ayahlah, pusing semua tapi saya tak dapat jawapan, tapi terima kasih kerana dalam mesyuarat dengan kerajaan Kelantan nanti saya boleh maklumkan bahawa pimpinan Ahli Parlimen Bachok tidak wala’ dengan kerajaan Kelantan kerana dia kata hutang kena bayar.
“Negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Melaka lebih kecil dari Kelantan dan dia tak ada hasil sebesar Kelantan kerana tak ada kekayaan semula jadi, malah mereka tak ada peruntukan besar dari kerajaan macam Kelantan. Cuba bandingkan pengalaman mereka macam mana yang lagi kecil dan kurang peruntukan boleh lebih maju dan sejahtera berbanding Kelantan yang masih negeri termiskin di Semenanjung sedangkan dapat peruntukan cukup besar dari kerajaan persekutuan,” katanya.
Syahir kemudian mendakwa, punca ada negeri yang lebih kecil tetapi lebih membangun dari Kelantan adalah kerana sokongan kerajaan persekutuan.
“Royalti dinafikan sampai sekarang Kelantan 33 tahun di bawah pentadbiran Pas, tidak pernah merasa nikmat federalisme sebagaimana dinikmati Negeri Sembilan dan Melaka, kecuali dua tahun sahaja apabila kerajaan Kelantan bersama kerajaan persekutuan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Baru ada usul nak strukturkan air, nak buat empangan, nak buat jalan baharu, ahli Parlimen boleh masuk sekolah, dulu tak boleh, sekarang pun tak boleh.
“Kalau nak banding dengan Melaka, you all tak rasa, jadi pembangkang tangan diikat sepatutnya dapat royalti dinafikan, Terengganu dapat royalti, bila Pas menang pilihan raya 1999 tak dapat, tapi ini nak banding dengan negeri lain.
“Tapi hebatnya Kelantan boleh survive, rahsianya, negeri lain belanja tinggi, saya akui Kelantan belanja rendah, tapi kuasa membeli sangat tinggi. Rumah di Kelantan nampak biasa tapi harga tanah, lembu dan kambing mereka simpan sebagai aset bukan belanja, walaupun Kelantan tidak dipacu kerajaan, ia dipacu dengan pembelian dan pelaburan,” katanya.
Rafizi bagaimanapun menyifatkan, kerajaan persekutuan sentiasa berlaku adil dan setiap kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab untuk memajukan negeri.
“Semua kerajaan mempunyai tanggungjawab masing-masing kuasa masing-masing, model persekutuan berjalan baik di semua negeri lain, yang bising persoalkan tentang model ini, Kelantan dan Syahir sahaja, negeri lain tak ada masalah.
“Memang kerajaan persekutuan perlu berlaku adil sebaik mungkin tetapi Syahir cuba memberi gambaran Kelantan dianaktirikan, sedangkan saya dah sebut berkali kali dah masuk Parlimen tapi dia buat-buat tak faham, peruntukan Kelantan jauh lebih tinggi dari negeri lain tapi tak pernah cukup.
“Federalisme dan kuasa kerajaan negeri bergerak seiring dengan perlembagaan, ada negeri tumpu kepada bidang kuasa kerajaan negeri dan bekerjasama, hasil bumi tak banyak, peruntukan tak banyak tapi ia boleh jauh lebih maju dari Kelantan,” katanya.
Beliau meminta supaya tiada mana-mana pihak menyalahkan kerajaan persekutuan di atas kegagalan memajukan pembangunan negeri.
“Kerajaan persekutuan tak kisah parti mana akan jalankan tanggungjawab mengikut perlembagaan, jadi dah bagi peruntukan, dah tolong, dah buat perancangan tapi kerajaan negeri yang tak cekap mentadbir, ini bukan soal federalisme.
“Kalau ada kerajaan negeri yang tidak mahir dan sibuk berpolitik bagilah kuasa macam mana pun kepada kerajaan negeri, yang kita ada bukti seperti Air Kelantan sampai sekarang tak selesai lagi.
“Jadi tak timbul soal ini, ia dipersetujui sejak negara kita merdeka, masing-masing ada tanggungjawab, sebab itu kerajaan negeri jangan mudah kamu gagal, kamu tuduh masalah kerajaan persekutuan, kalau gagal mengakulah gagal macam Kelantan,” katanya. UTUSAN